Perang calon PRK DUN Ayer Kuning bermula

Gelanggang pertarungan PRK DUN Ayer Kuning bermula dengan Hari Penamaan Calon hari ini.
Gelanggang pertarungan PRK DUN Ayer Kuning bermula dengan Hari Penamaan Calon hari ini.
A
A
A

TAPAH - Gelanggang pertarungan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sudah dibuka bermula dengan Hari Penamaan Calon hari ini.

Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sudahpun mengumumkan calon masing-masing, namun dengan tujuh borang pencalonan yang telah dibeli dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memungkinkan ada calon lain yang ingin mencuba nasib.

Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu, dijangka menjadi medan uji kekuatan antara gabungan Kerajaan Perpaduan dan PN.

BN sudah mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai calon mereka manakala PN menamakan Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek - dengan masing-masing berstatus 'ustaz'.

PSM pula meletakkan calon kitar semula iaitu peguam, Bavani KS untuk mencuba nasib bersaing mencuba nasib buat kali kedua.

Latar belakang calon yang berwibawa berdasarkan pendidikan serta dikenali masyarakat setempat bakal menjanjikan peperangan sengit antara parti bertanding.

Sejak beberapa penggal lalu, DUN Ayer Kuning kekal dalam genggaman BN menerusi UMNO.

Namun, selepas landskap politik negara berubah pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), majoriti kemenangan parti semakin terhakis.

Dengan penyertaan gabungan PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan, cabaran untuk mempertahankan kerusi ini menjadi lebih kompleks.

Artikel Berkaitan:

Di satu pihak, PN dilihat terus mendapat sokongan padu terutama daripada pengundi Melayu luar bandar yang semakin condong kepada pendekatan politik mereka.

Kemenangan

Di pihak lain, sokongan terhadap UMNO dan PH perlu dirapatkan semula demi menjamin kemenangan.

PRK ini juga akan menjadi medan ujian kepada keberkesanan naratif Kerajaan Perpaduan yang digagaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.

DUN Ayer Kuning boleh dijadikan indikator awal tentang sejauh mana rakyat menerima konsep ini, terutama dalam kawasan majoriti Melayu.

PN pula dijangka meneruskan naratif 'menolak kerjasama dengan DAP' dan memperjuangkan agenda Melayu-Islam sebagai daya tarikan utama kempen mereka.

Mereka akan cuba mengeksploitasi sentimen akar umbi yang masih belum pulih sepenuhnya daripada perpecahan politik.

Apa yang menarik, ramai menjangkakan PN akan menurunkan calon Pas yang sudah beberapa kali bertanding di kawasan ini, termasuk pada PRU lalu.

Ini akan mengukuhkan pengaruh parti itu yang semakin mendapat tempat di hati pengundi muda dan konservatif.

Apa juga keputusan nanti, PRK Ayer Kuning adalah peluang kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang boleh bekerja demi kebajikan mereka.

Persaingan sihat perlu diutamakan, dan politik matang wajar diketengahkan sepanjang tempoh kempen.

Dengan hari penamaan calon hari ini, tumpuan kini beralih kepada siapakah yang akan menawarkan diri dan sejauh mana mereka mampu meyakinkan lebih 20,000 pengundi di Ayer Kuning bahawa merekalah pilihan terbaik untuk mewakili suara rakyat.

Perang calon bermula. Kini, rakyat menentukan siapa juaranya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!