PRK Ayer Kuning: Polis pantau 2 lokasi panas, beberapa individu berisiko cetus provokasi

Noor Hisam bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Noor Hisam bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

TAPAH – Dua lokasi dikenal pasti sebagai kawasan panas sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sedang berada di bawah pemantauan rapi pihak polis, bersama beberapa individu yang berpotensi mencetuskan provokasi berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata langkah pencegahan telah diambil berdasarkan rekod terdahulu melibatkan isu sensitif dan pola tingkah laku individu tertentu yang dikenal pasti.

“Penduduk tempatan mungkin berkelakuan baik, tetapi yang datang dari luar kawasan menjadi kebimbangan kami. Kita telah kenal pasti individu berisiko ini dan ada langkah balas disusun rapi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah pada Jumaat.

Menurutnya, beberapa isu tempatan dan nasional dijangka dimanipulasi sebagai sentimen kempen, justeru pihak berkuasa tidak akan berkompromi jika terdapat pelanggaran undang-undang.

“Polis bertindak adil berdasarkan peruntukan undang-undang. Apabila individu terbabit muncul dan melakukan kesalahan, kita ada rekod serta boleh mengambil tindakan segera,” jelas beliau.

Beliau turut memberi jaminan bahawa keselamatan dan ketenteraman sepanjang proses PRK akan dipelihara agar berjalan lancar dan harmoni.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 April sebagai hari penamaan calon, 22 April untuk pengundian awal, manakala 26 April sebagai hari mengundi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!