PRK Ayer Kuning: 1,114 anggota, pegawai polis ditugaskan

TAPAH - Seramai 1,114 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, penugasan semua pegawai kanan, pegawai rendah dan pegawai awam itu membabitkan sumber kekuatan dalaman daripada Polis Kontinjen Perak.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 778 anggota ditugaskan bagi menghadapi proses penamaan calon pada Sabtu manakala 732 anggota sepanjang tempoh 14 hari berkempen.
"Untuk hari mengundi yang sebenar pada 26 April akan datang, polis memperuntukkan 1,114 petugas.
"Kita harap langkah-langkah yang telah kita ambil dan kenal pasti sebagai langkah pencegahan ini dapat mengurangkan insiden-insiden tidak diingini," katanya dalam sidang akhbar berkaitan persediaan Polis Perak menghadapi PRK DUN Ayer Kuning di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini pada Jumaat.
Beliau turut mengingatkan parti politik dan semua calon yang bertanding agar mematuhi segala undang-undang dan tidak melakukan kesalahan yang boleh menggugat kelancaran proses pilihan raya.
Katanya, polis akan menggunakan semua peruntukan akta sedia ada bagi tujuan penguat kuasaan termasuklah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta 547 dan Kanun Prosedur Jenayah.
"Polis sentiasa menjalankan tugas dengan profesional, kita tidak akan memihak dan kita akan melayan semua pihak sama rata.
"Jadi kita minta kerjasama semua pihak sama ada yang bertanding atau orang awam patuhi semua peraturan mengundi ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisam berkata, polis akan membuat lencongan dan penutupan beberapa jalan bagi memberi laluan kelancaran proses penamaan calon di Dewan Merdeka Tapah.
Katanya, antara laluan terlibat adalah simpang utama ke Dewan Merdeka, Jalan Stesen dan Jalan Raja seawal 7 pagi hingga 12.30 tengah hari.
"Untuk melicinkan perjalanan PRK ini, polis turut melantik penyelaras bagi mengatur gerak operasi diketuai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Senior Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin.
"Juga jurucakap rasmi polis, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Senior Asisten Komisioner Zaharudin Rasip," katanya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 12 April dan 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

