Rayuan pengundi dihalang mengundi pada PRN Johor 2022 diputuskan kemudian

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusannya berhubung rayuan seorang pengundi berdaftar Parlimen Iskandar Puteri yang mencabar tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalangnya daripada mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Supang Lian berkata, keputusan akan dimaklumkan pada tarikh lain kerana rayuan itu membabitkan isu perlembagaan.
Mahkamah menetapkan 16 April ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan.
Dua lagi ahli panel ialah Hakim Datuk Wong Kian Kheong dan Hakim Datuk Ismail Brahim.
Mahkamah pada Jumaat mendengar hujahan dalam rayuan yang difailkan oleh R K Tamileswaaran, 29, yang mencabar keputusan Mahkamah Tinggi pada 2022 yang menolak permohonan semakan kehakimannya.
Tamileswaaran mempersoalkan tindakan SPR yang tidak membenarkannya mengundi pada 12 Mac 2022 kerana sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.
Dalam permohonannya, Tamileswaaran mendakwa beliau berada pada hari keenam kuarantin dan telah disahkan negatif melalui ujian kendiri Covid-19, namun tetap dihalang daripada memasuki khemah pengundian kerana status aplikasi MySejahtera menunjukkan risiko tinggi.
Katanya, beliau juga tidak mendapat kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk mengundi.
Peguamnya, New Sin Yew berhujah anak guamnya wajar diberikan ganti rugi sebanyak RM10,000 kerana dinafikan hak perlembagaan untuk mengundi.
Beliau juga menyatakan SPR gagal mematuhi peruntukan undang-undang pilihan raya sedia ada dan sebaliknya bergantung kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak mempunyai kesan undang-undang dalam pelaksanaan pilihan raya.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Al-Saifi Hashim yang mewakili SPR menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan pampasan kewangan bagi pelanggaran hak untuk mengundi.
Katanya, penggunaan SOP adalah dasar awam untuk membendung penularan Covid-19 dan tindakan SPR mengikut garis panduan tersebut adalah tidak bercanggah dengan undang-undang.
Menurutnya, aplikasi MySejahtera milik Tamileswaaran menunjukkan beliau masih dalam tempoh kuarantin dan tindakan beliau keluar dari kuarantin melanggar SOP.
"SOP bertarikh 7 Mac 2022 yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan dengan jelas melarang pesakit, termasuk perayu yang positif Covid-19 daripada keluar untuk mengundi,” katanya.
Mohammad Al-Saifi dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan Fauziah Daud. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
