Tarif Trump dijangka tidak jejaskan ahli Pekema

CYBERJAYA– Kesan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara-negara pengeksport dijangka tidak memberi impak ketara terhadap industri pengimportan kenderaan di Malaysia, khususnya ahli-ahli Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema).
Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, meskipun nilai ringgit mungkin terjejas berikutan perkembangan dasar perdagangan global itu, impaknya terhadap Malaysia adalah minimum berbanding negara pengeksport lain seperti Vietnam dan Jepun yang dikenakan tarif lebih tinggi oleh AS.
“Kalau ringgit terkesan pun, negara seperti Jepun dan Vietnam pun turut terkesan.
“Apabila nilai tukaran jatuh, eksport kita akan jadi lebih murah. Akhirnya kesan akan seimbang. Saya rasa kesannya sangat minimum,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri PEKEMA, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, hampir 90 peratus ahli persatuan itu mengimport kenderaan dari Jepun, manakala import dari Amerika Syarikat adalah amat kecil.
“Kalau pun ada, ia hanya melibatkan sebahagian kecil motosikal seperti Harley Davidson.
"Kalau harga dari AS jadi mahal disebabkan tarif atau kadar tukaran, kita boleh beralih kepada sumber lain seperti Eropah,” katanya.
Ujar Mohamed Nazari kedudukan wang ringgit masih stabil berbanding yen pada kadar tukaran semasa berada dalam julat yang tidak banyak berubah.
“Kalau yen naik mendadak, barulah akan ada kesan tapi sekarang nilainya masih dalam lingkungan biasa.
"Bank Negara pun akan pastikan kadar faedah dan kestabilan ekonomi dijaga supaya ringgit kekal stabil,” jelas beliau.
Tambahnya, buat masa ini tiada keperluan untuk Pekema melakukan perubahan drastik kerana keadaan semasa masih terkawal.
Dalam pada itu, beliau berkata, industri tempatan seharusnya mengambil peluang sekiranya Vietnam terjejas teruk akibat dasar tarif itu dengan membawa pulang semula industri yang sebelum ini berpindah ke negara tersebut seperti sektor tekstil dan pakaian.
“Jika dahulu industri dari Batu Pahat berpindah ke Vietnam kerana kos pengeluaran lebih murah tetapi sekarang apabila tarif ke atas Vietnam tinggi, kita patut bawa balik industri itu ke Malaysia kerana tarif kita lebih rendah,” ujarnya.
Terdahulu, Trump mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan terhadap negara ini.
Bagaimanapun, keputusan tersebut ditangguhkan selama 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang termasuk Malaysia.
Langkah itu disifatkannya sebagai hasil rundingan diplomatik dan semangat muhibah sebagai faktor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

