Jenayah kanak-kanak tertakluk umur baligh

SHAH ALAM - Tiada keperluan meminda peruntukan undang-undang sedia ada bagi menghukum kanak-kanak di bawah umur sekiranya melakukan jenayah seperti rogol.
Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal menjelaskan, kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun tahun perlu dibuktikan berkemampuan memahami perbuatan mereka sebelum boleh didakwa dalam sebarang peruntukan kanun jenayah.
“Saya tidak setuju pinda perundangan (sedia ada) dan mempertanggungjawabkan kanak-kanak bagi kesalahan jenayah yang dilakukan mereka.
“Seksyen 82 Kanun Keseksaan mentakrifkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun tidak boleh didakwa bagi kesalahan jenayah kerana dianggap tidak berupaya melakukan jenayah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini polis Kelantan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah menghamilkan sepupunya yang berumur 15 tahun dipercayai atas dasar cinta bawah umur.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku minggu lalu itu menyebabkan kanak-kanak lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan, manakala sepupunya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam pada itu Noor Aziah memaklumkan di bawah undang-undang Islam, kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun yang melakukan jenayah tersebut ditakrifkan sebagai seorang yang sudah baligh.
Namun mengikut enakmen jenayah syariah dan tatacara jenayah, menurut beliau, umur baligh berbeza-beza bagi setiap negeri.
“Contoh di Negeri Sembilan, kanak-kanak berumur 12 tahun Qamariah dikira sudah baligh manakala ada negeri lain (mentakrifkan) umur 15 tahun, 18 tahun juga tidak boleh didakwa.
“Kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang ada peruntukan khas di dalam Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya.
Berdasarkan Seksyen 83 Akta 574, kanak-kanak yang berumur 10 hingga 12 tahun boleh dianggap berupaya melakukan jenayah sekiranya dia telah mencapai kematangan mencukupi untuk memahami dan mempertimbangkan sifat serta akibat kelakuannya pada masa itu.
Selain itu berdasarkan subseksyen 96 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), kanak-kanak di bawah umur 14 tahun tidak boleh diperintahkan supaya dipenjarakan bagi apa-apa kesalahan atau dikomitkan ke penjara kerana ingkar membayar denda, ganti rugi atau kos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
