PSM persoal keutamaan kerajaan, desak reformasi struktur hasil negara

Jeyakumar
Jeyakumar
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan perlu memberi penjelasan berhubung kelemahan struktur hasil negara yang menyebabkan pelbagai cadangan kebajikan rakyat gagal dilaksanakan walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat dalam tempoh 50 tahun lalu.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr D Jeyakumar berkata, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat sivil mengemukakan pelbagai cadangan pro-rakyat termasuk skim pencen warga emas, penambahan peruntukan kesihatan serta penyelenggaraan rumah kos rendah.

Bagaimanapun, kerajaan memberi alasan bahawa ia tidak mempunyai kemampuan kewangan melaksanakannya dalam masa terdekat.

“Mereka menyatakan wujudnya defisit dalam belanjawan kerajaan sebanyak RM80 bilion dan jumlah hutang meningkat kepada RM1,200 bilion setakat ini.

“Hutang ini memerlukan pembayaran faedah RM56 bilion kepada pemegang bon kerajaan bagi 2025,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Jeyakumar, PSM mengadakan perbincangan meja bulat pada Jun 2023 bersama 25 NGO dan pakar akademik bagi meneliti punca kemerosotan hasil kerajaan.

Melalui perbincangan itu, PSM mengemukakan tiga persoalan utama kepada kerajaan antaranya menyentuh isu pendapatan kerajaan sebagai peratusan KDNK yang menyusut 30 peratus pada 1980-an kepada hanya 16 peratus dalam Belanjawan 2025.

Beliau menyatakan, penurunan itu berpunca daripada perlumbaan menurunkan cukai korporat dalam usaha menarik pelaburan asing.

“Persoalannya, mengapa Malaysia tidak mengambil inisiatif mengajak negara ASEAN berbincang dan menamatkan perlumbaan menurunkan cukai korporat ini?”

Artikel Berkaitan:

“Kami tidak berniat menarik balik keuntungan dinikmati pihak korporat. Sebaliknya, kami mahu perlumbaan ke paras terbawah dihentikan dan kadar cukai korporat dikaji semula ke paras lebih munasabah,” katanya.

Jelasnya, pertumbuhan KDNK 24 kali ganda sejak 50 tahun lalu bukan berlaku secara sendiri sebaliknya merupakan hasil titik peluh pekerja, petani dan peniaga di negara ini.

“Jadi, adalah munasabah jika sebahagian kekayaan ini disalurkan untuk memperkukuh skim perlindungan sosial seperti pencen warga emas serta meningkatkan kualiti rawatan di hospital awam,” katanya.

Jeyakumar turut menambah parti politik arus perdana seperti Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dilihat tidak berminat membincangkan isu berkaitan struktur hasil negara.

Sebaliknya, mereka lebih cenderung memindahkan beban kewangan kepada rakyat menerusi cadangan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta skim berbayar penuh di hospital awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!