Impian PSM jadi kenyataan

IMPIAN Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk melihat sukan itu berdiri megah di pentas antarabangsa kini semakin nyata dengan pengenalan dua inisiatif penting, Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) dan Akademi Sepak Takraw Malaysia (ASTM).
Malah, Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan yakin NSTDP yang bermula pada bulan depan akan menjadi landasan utama untuk mencungkil bakat-bakat baharu dan membawa kegemilangan kepada negara.
Jelas Sumali, NSTDP juga sebagai titik perubahan besar badan induk itu dalam usaha mengembangkan landskap sepak takraw negara ke satu tahap lebih baik.
“Alhamdulillah, impian PSM untuk melihat sepak takraw setanding sukan lain yang mempunyai program pembangunan tersendiri seperti hoki (NHDP), bola sepak (NFDP), ragbi (NRDP) dan bola jaring (NNDP) menjadi kenyataan.
“NSTDP kesinambungan kepada program pembangunan sedia ada, pelbagai peringkat seluruh negara akan tampil pendekatan lebih menyeluruh dengan kerjasama MSN (Majlis Sukan Negara) serta KPM (Kementerian Pendidikan),” kata Sumali kepada Sukan Sinar.
Sumali sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin, dan Bendahari PSM, Datuk Dazma Shah Daud.
Selain itu, Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengesahkan bahawa Stadium Jalan Raja Muda (SJRM) Kampung Baru akan diserahkan kepada PSM mulai 1 April 2025 dengan kontrak sewa selama sembilan tahun.
Menurut Sumali, langkah ini secara tidak langsung membolehkan badan induk itu mengendalikan latihan dan pembangunan atlet secara berpusat, sekali gus meningkatkan kualiti latihan dan memanfaatkan kemudahan di kompleks berkenaan.
“PSM memilih kompleks Stadium Jalan Raja Muda kerana sesuai dijadikan akademi sepak takraw kerana dilengkapi kemudahan seperti bilik kelas, gimnasium selain gelanggang besar.
“Sama ada operasinya seperti badminton ABM (Akademi Badminton Malaysia), bentuk akademi ini akan diputuskan kemudian selepas berbincang bersama dengan barisan Exco PSM,” ujar Sumali.
Sumali turut menyifatkan NSTDP dan ASTM sebagai bukti komitmen kerajaan dalam membantu PSM memajukan sukan sepak takraw dari peringkat akar umbi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
