Harga sewa rumah, telur melambung

SHAH ALAM - Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) tidak terkecuali daripada merasai kesan dasar tarif diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump yang nyata menambahkan lagi tekanan kos hidup mereka di perantauan.
Walaupun tarif itu masih belum berkuat kuasa di negara berkenaan namun mereka sudah mula merasai kesan kenaikan harga barangan yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Penuntut Pennsylvania State University, Norsabella Ilyana Ahmad Sabri, 21, mengakui perlu menambah bayaran sewa rumah yang telah meningkat daripada kira-kira RM1,258.57 (AS$280) kepada RM2,249.75 (AS$500) sebulan.
“Ketika awal-awal sewa pada 2022 saya bayar AS$280 termasuk bil elektrik, air dan pas bas.
“Tetapi sekarang saya terpaksa bayar hampir AS$500 sebulan dengan bil elektrik yang kini dikenakan had penggunaan. Kalau terlebih guna, memang kena tambah duit.
“Bil elektrik saya pada bulan ini mencecah AS$479.49 (RM2,157.24), memang tak masuk akal,” katanya.
Tambah pelajar jurusan Ekonomi itu, kenaikan harga barang seperti telur juga tidak terkecuali apatah lagi situasi tersebut telah berlaku sebelum pelaksanaan tarif terbaharu oleh Presiden AS.

“Sebenarnya harga telur ini memang sudah naik sedikit demi sedikit sejak beberapa tahun kebelakangan. Kalau selalu beli barang dapur memang boleh rasa perubahan harga itu.
“Tahun lepas harga untuk 60 biji telur sekitar AS$19.26 (RM86.64) tetapi tahun ini telah meningkat kepada AS$21.12 (RM94.83),” katanya.
Bagaimanapun, Norsabella berkata, sebagai penerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) elaun bulanan yang diterima sudah mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan sepanjang menuntut di negara asing.
Dia turut menekankan, untuk sentiasa bijak berbelanja agar dapat menghadapi situasi kenaikan harga yang sedang melanda ketika ini.
Sementara itu bagi penuntut universiti sama yang hanya ingin dikenali sebagai Adam turut menyuarakan kebimbangan mengenai kenaikan harga barangan terutama telur, sebagai sumber makanan halal utama.
Pelajar jurusan Kejuruteraan Ekonomi itu berkata, harga telur semakin meningkat dan sedikit sebanyak membebankan pelajar antarabangsa yang perlu berjimat-cermat dalam menguruskan kewangan sepanjang menuntut di negara berkenaan.
“Dekat sini memang susah cari makanan halal, jadi telur menjadi sumber makanan utama kami sebagai pelajar.
“Harga pun murah jika dibandingkan dengan sumber protein lain..cuma dengan kenaikan harga sekarang ini sudah tidak boleh nak berjimat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

