Petugas kesihatan rugi RM1.26 juta ditipu scammer

Seorang petugas sektor kesihatan mengalami kerugian RM1.26 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud baru-baru ini. Gambar hiasan
Seorang petugas sektor kesihatan mengalami kerugian RM1.26 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud baru-baru ini. Gambar hiasan
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang petugas sektor kesihatan mengalami kerugian RM1.26 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara telah menerima aduan daripada mangsa pada Jumaat lalu.

Menurutnya, dalam aduan tersebut, mangsa yang berusia 58 tahun mendakwa telah diperdaya oleh sindiket berkenaan selepas membaca iklan pelaburan di Facebook.

"Pada 20 Disember tahun lalu, kira-kira jam 10 pagi, mangsa melihat iklan pelaburan saham QC Secure melalui media sosial Facebook.

"Mangsa berminat untuk menyertai pakej pelaburan yang ditawarkan dan membuat beberapa transaksi memasukkan wang ke dalam tujuh akaun bank yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa dijanjikan pulangan sebanyak 500 hingga 800 peratus daripada wang modal yang dilaburkan.

"Setelah membuat transaksi, sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang pulangan daripada syarikat berkenaan.

"Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan," ujarnya.

Menurut beliau, kes siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan jerat 'scammer' yang berselindung di sebalik platform media sosial.

"Semakan perlu dibuat terlebih dahulu dengan pihak Bank Negara Malaysia (https://www.bnm.gov.my) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (https://www.sc.com.my) bagi memastikan entiti atau individu tersebut dibenarkan oleh dua agensi ini bagi menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal (pelaburan).

"Setiap individu dalam masyarakat perlu memainkan peranan untuk menyebarkan mesej kesedaran jenayah komersial agar kita dapat membentuk satu komuniti yang selamat dan terhindar daripada menjadi mangsa scammer," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!