Makmal Forensik Digital baharu bantu JKDM siasat jenayah digital

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini memiliki aset baharu berupa Makmal Forensik Digital yang berperanan membantu siasatan dan tindakan penguatkuasaan berkaitan jenayah digital.
Makmal tersebut berfungsi untuk menganalisis bukti digital seperti komputer, telefon bimbit, dan peranti simpanan data yang disita semasa operasi penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, makmal itu akan memperkukuh keupayaan JKDM dalam menangani jenayah yang semakin sofistikated.
“Antara elemen utama yang menjadi fokus termasuk kegiatan penyeludupan, pengelakan cukai dan pemalsuan dokumen import.
“Makmal Forensik Digital ini turut memainkan peranan penting dalam menganalisis bukti digital bagi menyokong tindakan penguatkuasaan JKDM,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Makmal berkenaan yang asalnya ditubuhkan pada tahun 2015 telah dinaik taraf dengan peralatan dan perisian terkini bernilai RM8.5 juta pada tahun 2024 bagi menggantikan sistem lama yang tidak lagi disokong.
Menurut beliau, makmal itu kini terdiri daripada empat komponen utama iaitu Makmal Forensik Komputer, Makmal Forensik Telefon, Makmal Forensik Audio Video dan Makmal Forensik Dokumen.
Sepanjang tahun lalu, sebanyak 448 unit bahan bukti digital telah diproses, merangkumi cakera keras, pemacu pena, telefon dan kamera litar tertutup (CCTV).
Daripada jumlah itu, 54.8 peratus adalah kes di bawah Akta Kastam 1967, 37.8 peratus di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, dan 7.4 peratus di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Teknologi makmal ini membolehkan pengesanan dan pemulihan bukti digital secara lebih berkesan sekali gus membantu proses siasatan serta pendakwaan,” katanya.
Anis Rizana turut memaklumkan bahawa sebanyak 7,215 kes penyeludupan melibatkan rampasan dan cukai bernilai RM1.644 bilion berjaya ditumpaskan pada tahun lalu.
JKDM turut mencatat kutipan hasil bersih tertinggi iaitu RM65.57 bilion bagi tahun 2023 – peningkatan hampir 19 peratus berbanding RM55.17 bilion pada tahun sebelumnya.
Sebagai tambahan, JKDM kini bekerjasama dengan pelbagai agensi melalui penubuhan Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD) yang melibatkan CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan agensi berkaitan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

