Kes rogol, senjata api dan dadah meningkat di Kelantan

Yusoff Mamat
Yusoff Mamat
A
A
A

KOTA BHARU - Kes rogol, senjata api, dadah antara kes jenayah yang mengalami peningkatan di negeri ini sepanjang Januari hingga Mac berbanding tahun lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sepanjang tempoh tiga bulan itu kes rogol meningkat sebanyak 15.6 peratus iaitu lima, samun berkawan bersenjata api 100 peratus (1 ) dan cedera 6.8 peratus (3).

Mohd Yusoff (tengah) menyampaikan sijil penghargaan pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu pada Rabu.
Mohd Yusoff (tengah) menyampaikan sijil penghargaan pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu pada Rabu.

"Bagi jenayah Narkotik pula, ia meningkat sebanyak satu peratus iaitu 82 kes.

"Bagi bulan Januari hingga Mac 2025 7,138 kes telah direkodkan berbanding sejumlah 7,056 kes bagi tempoh sama tahun 2024," katanya semasa menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, bagaimanapun bagi pesalah-pesalah narkotik menunjukkan penurunan sebanyak dua peratus (151) iaitu seramai 7,417 pesalah narkotik direkodkan berbanding seramai 7,568 tangkapan pada tempoh sama pada tahun 2024.

Ujarnya, nilai rampasan dadah juga menunjukkan penurunan sebanyak 58 peratus iaitu berjumlah RM2.2 juta berbanding tempoh yang sama tahun 2024, sejumlah RM5.2 juta.

Mohd Yusoff memberitahu, secara keseluruhannya jenayah indeks di negeri ini untuk suku tahun pertama bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas telah menunjukkan penurunan sebanyak 17.1 peratus (95) iaitu sebanyak 462 kes dilaporkan berbanding 557 kes tempoh sama pada tahun 2024.

"Ini adalah kejayaan besar bagi pihak PDRM Kelantan kerana berjaya mengekang penyeludupan dadah ekoran daripada larangan mana-mana individu menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi negara dan Thailand di sepanjang Sungai Golok berkuat kuasa 1 Disember 2024," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!