79 maut bumbung kelab malam runtuh

Pemandangan udara kelab malam yang bumbungnya runtuh di Santo Domingo pada Selasa.
Pemandangan udara kelab malam yang bumbungnya runtuh di Santo Domingo pada Selasa.
A
A
A

SANTO DOMINGO – Sekurang-kurangnya 79 orang terkorban apabila bumbung sebuah kelab malam yang telah beroperasi lebih 50 tahun runtuh di Republik Dominican, pada Selasa malam.

Penyanyi terkenal dari Republik Dominican, Rubby Perez yang berada di atas pentas di kelab malam turut terperangkap dalam tragedi berkenaan.

Pasukan kecemasan berkata, penyanyi berusia 69 tahun itu adalah antara puluhan individu yang terperangkap di bawah runtuhan, dan ada yang kedengaran meminta tolong.

Beberapa saluran media tempatan kemudian melaporkan bahawa Perez telah ditemui maut, namun Pengarah Pusat Operasi Kecemasan, Juan Manuel Mendez berkata pakar forensik belum mengesahkan penemuan mayat beliau.

Sebuah kren mengalihkan sisa runtuhan selepas tragedi kelab malam yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 79 orang maut.
Sebuah kren mengalihkan sisa runtuhan selepas tragedi kelab malam yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 79 orang maut.

Lebih daripada 370 anggota penyelamat mengorek timbunan bata runtuh, palang besi dan kepingan zink untuk mencari mangsa yang terselamat.

Antara yang maut ialah Octavio Dotel, 51, bekas pemain Major League Baseball yang pernah memenangi Siri Dunia pada tahun 2011 bersama pasukan St. Louis Cardinals.

Menurut laporan media tempatan beliau berjaya diselamatkan tetapi meninggal dunia akibat kecederaan dalam perjalanan ke hospital.

Gambar hitam putih pemain tersebut dan imej bendera Republik Dominican dipaparkan pada skrin di Citi Field, New York sebelum perlawanan antara New York Mets dan Miami Marlins pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Terdapat antara 500 hingga 1,000 orang di dalam kelab ketika bencana berlaku pada jam 12.44 tengah malam waktu tempatan.

Waris mangsa menunggu di luar kawasan kejadian untuk mendapatkan maklumat tragedi.
Waris mangsa menunggu di luar kawasan kejadian untuk mendapatkan maklumat tragedi.

Puluhan ambulans membawa mangsa yang cedera ke hospital, sementara orang ramai berkumpul di luar tempat kejadian dalam keadaan cemas mencari maklumat tentang orang tersayang.

Menurut seorang saksi, Perez sedang membuat persembahan ketika berlaku gangguan elektrik dan bumbung bangunan runtuh.

"Ia berlaku secara tiba-tiba. Saya sangka ia gempa bumi, jadi saya rebahkan diri dan tutup kepala," kata pengurus Perez, Enrique Paulino kepada wartawan.

"Seorang pemain saksofon kami terkorban, kami cuba sampai ke tempat Rubby berada tetapi terlalu banyak runtuhan," katanya.

Anak perempuan Perez, Zulinka memberitahu wartawan bahawa dia sempat melarikan diri selepas bumbung runtuh, namun bapanya tidak sempat berbuat demikian.

Turut terkorban ialah Gabenor Perbandaran Monte Cristi, Nelsy Cruz. Angka korban bermula dengan 15 orang dan terus meningkat sepanjang hari, sehingga mencapai 79 orang pada waktu petang.

Harapan untuk Hidup

Iris Pena, seorang wanita yang menghadiri persembahan tersebut memberitahu televisyen SIN bagaimana dia melarikan diri bersama anak lelakinya.

"Pada satu ketika, debu mula jatuh seperti pasir ke dalam minuman di atas meja. Batu jatuh dan memecahkan meja kami dan kami segera keluar.

"Impaknya sangat kuat, seperti tsunami atau gempa bumi, "jelas Pena.

Berpuluh-puluh ahli keluarga berpusu-pusu ke hospital untuk mendapatkan berita.

"Kami sangat terdesak, Mereka tidak memberi sebarang berita, tidak memberitahu apa-apa," kata Regina del Rosa, yang kakaknya menghadiri konsert tersebut kepada SIN.

Imej dari helikopter menunjukkan lubang besar di mana bumbung kelab tersebut pernah berada.

Sebuah kren digunakan untuk mengangkat runtuhan berat manakala pasukan penyelamat menggali runtuhan.

Menurut kementerian pelancongan, Republik Dominican yang berkongsi pulau Hispaniola dengan Haiti menerima lebih 11 juta pelawat pada tahun 2024.

Pelancongan menyumbang kira-kira 15 peratus daripada KDNK dengan pelancong tertarik kepada pantai Caribbean, muzik dan kehidupan malamnya, serta seni bina kolonial Santo Domingo.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!