'Di mana kami mahu tinggal'

Che Afizy (kanan) bersama anaknya yang cedera dalam kejadian letupan paip gas di Putra Heights.
Che Afizy (kanan) bersama anaknya yang cedera dalam kejadian letupan paip gas di Putra Heights.
A
A
A

KOTA BHARU - "Di mana kami sekeluarga mahu tinggal dengan keadaan dua anak yang masih trauma dan isteri melecur tahap tiga."

Demikian luahan mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selasa minggu lalu, Che Afizy Che Mat, 40, kerana mereka perlu mengosongkan dewan yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) selewat-lewatnya Ahad ini.

Che Afizy ketika dihubungi berkata, rumah sewanya di Kampung Sungai Baru, Puchong, hanya kira-kira 100 meter dari saluran paip yang meletup, rosak teruk, dan tidak dapat diduduki.

Menurutnya, perbincangan bersama pemilik rumah mendapati mereka mahu membaiki kediaman berkenaan, namun ia akan mengambil masa agak lama untuk siap sepenuhnya.

"Buat masa ini, saya buntu untuk mencari rumah sewa berikutan keadaan isteri yang memerlukan perhatian, anak bongsu kami yang juga melecur tahap tiga, dan seorang lagi masih trauma," katanya.

Lebih membimbangkan, rumah sewa juga mahal dan memerlukan deposit sehingga mencecah ribuan ringgit.

Keadaan kereta Che Afizy yang rosak teruk akibat kejadian letupan paip gas.
Keadaan kereta Che Afizy yang rosak teruk akibat kejadian letupan paip gas.

"Dengan keadaan kami sekarang, saya tidak mampu memikirkan situasi itu dan berharap ada pemilik rumah yang sudi memberikan kadar sewa lebih murah untuk sementara waktu tanpa mengenakan deposit," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejadian letupan turut menyebabkan sebuah kereta miliknya cair manakala cermin pecah, dan dua motosikalnya rosak teruk selain perabot rumah mungkin tidak dapat digunakan.

Kakitangan swasta berasal dari Kampung Lata Janggut, Jeli itu memberitahu, mekanik memaklumkan lebih RM5,000 diperlukan untuk kos menukar peralatan kereta yang rosak, tidak termasuk cat baharu.

Jelasnya, sejak kejadian itu, penduduk dibenarkan memasuki rumah beberapa jam sahaja untuk mengambil dokumen penting.

"Saya percaya hujan beberapa hari lalu menyebabkan air masuk ke dalam rumah melalui bumbung yang rosak dan banyak barangan tidak dapat digunakan," katanya.

Menceritakan kejadian berkenaan, kata Che Afizy, ketika letupan dia sudah keluar rumah untuk bekerja sebelum menerima panggilan daripada isterinya, Masayuan Takbir, 38, kira-kira jam 8.30 pagi yang mengesyaki berlaku kebakaran rumah berdekatan kediaman mereka.

Sebaik bergegas pulang, dia tidak dapat memasuki kawasan rumah kerana bahang panas dan api yang marak.

"Ketika itu, isteri saya mendukung anak berusia dua tahun 10 bulan bersama seorang lagi berusia sembilan tahun menyelamatkan diri dengan lari ke tebing sungai berdekatan.

"Isteri berhubung melalui kumpulan komuniti kampung di grup WhatsApp dan memaklumkan dia berada di lokasi itu sebelum diselamatkan oleh penduduk," katanya.

Menurut Che Afizy, dua lagi anak mereka yang berusia 17 dan 18 tahun masih berada di kampung untuk berhari raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!