KPKT pertimbang undang-undang baharu tangani isu pengurusan hartanah, bangunan

PETALING JAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mempertimbangkan undang-undang baharu untuk menangani isu pengurusan hartanah dan bangunan yang lemah di negara ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, perkhidmatan pengurusan hartanah yang lemah di Malaysia telah menyebabkan penurunan dalam nilai aset hartanah, terutamanya bangunan berstrata.
Menurutnya, hanya terdapat 594 firma berlesen yang berkhidmat dengan 26,334 skim strata atau 2.91 juta unit hartanah strata di Malaysia.
"Dengan kata lain, setiap firma secara purata bertanggungjawab untuk menguruskan hampir 4,900 unit hartanah strata.
“Ketidakcukupan firma berlesen akan membawa kepada kualiti perkhidmatan yang lemah bagi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan (MC) dan pertambahan pengurus hartanah tidak berlesen di seluruh negara,” katanya dalam ucaptama di Simposium Strata Antarabangsa di sini pada Selasa.
Tambah Kor Ming, masalah itu menyebabkan ramai pemilik dan penyewa hartanah, terutama dalam skim strata berdepan kesukaran berikutan kemerosotan nilai aset hartanah mereka.
Jelasnya, ia berpunca daripada pengurusan bangunan yang lemah dan tidak mencukupi oleh pengurus hartanah yang tidak bertauliah, terlatih dan jujur.
Bagi menangani isu itu, Kor Ming memberitahu bahawa kementeriannya telah bekerjasama dengan beberapa persatuan dan kumpulan berkepentingan dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk mengkaji akta baharu yang komprehensif.
“Akta ini akan memberi tumpuan kepada pengawal seliaan pengurusan harta dan bangunan di bawah KPKT. Pada masa ini, pengurus hartanah dikawal selia bersama penilai iaitu penilai dan ejen harta tanah di bawah Akta 242.
“Kementerian menyasarkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan hartanah di Malaysia dengan kewujudan akta baharu khusus untuk pengurus hartanah.
“Selain itu, ia bagi memastikan yuran penyelenggaraan yang dibayar oleh pemilik atau penyewa hartanah digunakan dengan betul seperti untuk penyelenggaraan lif dan taman; pengubahsuaian kemudahan; kutipan sisa atau pembaikan sistem kumbahan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

