Mabuk, salah faham cetus pergaduhan dua kumpulan

TAWAU - Tujuh pelanggan di sebuah restoran ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan dalam kejadian di Jalan Haji Karim di sini pada Ahad.
Kesemua individu berusia antara 20 hingga 49 tahun itu ditahan susulan aduan dibuat oleh pemilik restoran berikutan barang di premisnya turut rosak akibat pergaduhan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, laporan polis dibuat selepas pengadu dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa berlaku pergaduhan antara pelanggan di restoran miliknya.
"Pergaduhan yang berlaku pada jam 5.45 pagi itu telah menyebabkan beberapa peralatan di dalam restoran mengalami kerosakan dan pemiliknya tampil ke di balai polis untuk tindakan lanjut.
"Susulan laporan tersebut, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau telah melancarkan operasi bagi mengesan suspek yang terlibat dengan kes pergaduhan itu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Katanya lagi, dalam serbuan berasingan itu pihaknya juga berjaya menahan kesemua tujuh individu dari kedua-dua belah pihak yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada mabuk dan berlaku salah faham antara mereka.
"Kesemua mereka dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan hasil semakan rekod lampau mendapati tiga daripada mereka memiliki rekod kes berkaitan jenayah dan dadah," katanya.
Champin berkata, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 kanun yang sama kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
