Kebakaran paip gas: Lebih 190 permohonan kenderaan sementara diterima

Sze Han (dua, kiri) ketika majlis penyerahan kenderaan sementara kepada 30 mangsa kebakaran paip gas di stesen LRT Putra Heights pada Selasa.
Sze Han (dua, kiri) ketika majlis penyerahan kenderaan sementara kepada 30 mangsa kebakaran paip gas di stesen LRT Putra Heights pada Selasa.
A
A
A

SUBANG JAYA - Lebih 190 permohonan bantuan kenderaan sementara bagi mangsa yang terjejas dalam kejadian letupan paip gas di Putra Heights pada minggu lalu telah diterima setakat ini.

Bagaimanapun, Exco Pelaburan, Perdagangan, dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, permohonan itu dapat dipenuhi berikutan jumlah keseluruhan kenderaan sementara ialah sebanyak 200 kereta melibatkan lima syarikat.

“Ini berdasarkan permohonan daripada mangsa, dan setakat ini lebih kurang 190 permohonan diterima. Jumlah ini mencukupi kerana setakat ini ada 200 kenderaan pinjaman selama sebulan daripada lima syarikat automotif.

“Saya rasa mencukupi dan tidak perlu tambah jumlah kenderaan kerana masih ada baki lima atau enam kenderaan yang belum dimohon.

“Setakat ini, kita sudah agihkan 140 kereta dan baki lagi 60 akan diberi dalam minggu ini,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan kenderaan sementara kepada mangsa letupan paip gas di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights di sini pada Selasa.

Untuk rekod, kumpulan itu mengedarkan gabungan model kereta termasuk Renault Captur dan Koleos, Nissan X-Trail Hybrid dan Almera, GS3 Emzoom GAC Motor, serta tiga kenderaan elektrik (EV) Aion Y.

Dalam pada itu, penyediaan kenderaan sementara untuk mangsa kejadian tersebut memberi sedikit kelegaan dan keceriaan kepada mereka yang terkesan dengan insiden berkenaan.

Salah seorang mangsa yang juga penerima kenderaan sementara, S Vinayagam, 55, berkata, bantuan itu dapat memudahkan urusan harian seperti menghantar anak ke sekolah, pergi ke tempat kerja, dan memenuhi keperluan keluarga.

Menurut Vinayagam, dia terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat selepas rumahnya terjejas, dan kereta jenis Toyota Camry turut cair sehingga 30 peratus akibat insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Sudah seminggu saya menumpang rumah saudara, bukan di pusat pemindahan sementara (PPS), dan hanya meminjam kereta saudara selepas rumah kami terjejas, selain satu-satunya kereta saya pun cair 30 peratus...mungkin ambil masa untuk dibaiki.

“Ditambah pula, kami sekeluarga sudah pulang ke rumah semalam (Isnin) selepas mendapat kebenaran daripada pihak bomba. Jadi, bantuan ini sedikit sebanyak memudahkan urusan pergerakan saya ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah.

“Walaupun sudah balik (ke rumah), saya akui kami masih trauma, sentiasa rasa takut dan cemas memikirkan kemungkinan lain selepas kejadian,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Sooryamalar, 43, turut gembira apabila mendapat kenderaan sementara selepas keretanya cair dan terjejas akibat kejadian berkenaan.

Ujarnya, bantuan tersebut dapat membantu urusan harian berikutan kedua-dua kereta miliknya masih dibaiki.

“Saya gembira menerima kereta ini kerana sudah satu minggu kami terkesan secara fizikal dan emosi disebabkan kerosakan rumah termasuk kedua-dua kereta saya yang masih dibaiki di bengkel.

“Saya rasa ini sangat membantu untuk kami dengan segala urusan harian. Saya mahu ucapkan terima kasih kepada syarikat yang sudi menghulurkan bantuan ini,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!