Era Juric bersama Southampton berakhir

Juric
Juric
A
A
A

IVAN Juric meninggalkan Southampton sehari selepas The Saints tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah tewas 1-3 kepada Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur, menurut kenyataan kelab itu.

Bekas pemain Croatia itu dilantik pada Disember selepas permulaan musim yang buruk bagi Southampton, namun gagal mengubah keadaan apabila kelab itu mengalami penyingkiran terpantas dalam sejarah liga dengan baki tujuh perlawanan.

"Kelab mengesahkan bahawa hari ini kami telah mencapai persetujuan dengan pengurus pasukan utama lelaki kami, Ivan Juric, untuk menamatkan tempoh beliau bersama Southampton.

"Ivan datang ke Southampton pada masa yang sukar dan ditugaskan untuk cuba memperbaiki skuad dalam situasi yang mencabar. Malangnya, kami tidak melihat prestasi berkembang seperti yang kami harapkan.

"Tetapi kami ingin ucap terima kasih kepada Ivan dan stafnya atas kejujuran dan kerja keras mereka ketika berjuang mengharungi segala rintangan untuk mengekalkan kami di liga," kata Southampton dalam satu kenyataan.

Sebagai rekod, Juric hanya memenangi dua daripada 16 perlawanan dikendalikannya dalam semua pertandingan dan meraih empat mata di liga ketika Southampton berada di kedudukan terbawah dengan 10 mata.

Jurulatih pasukan utama, Simon Rusk akan mengambil alih sebagai pengendali sementara, kata Southampton.

Rusk juga pernah menjadi pengendali sementara selepas pemecatan bekas pengurus Russell Martin pada 15 Disember susulan kekalahan 0-5 kepada Spurs di tempat sendiri.

Rusk akan dibantu pemain tengah Adam Lallana, dengan proses mencari pengurus baharu sedang berjalan, tambah kelab itu.

Artikel Berkaitan:

Juric, yang dilantik dengan kontrak 18 bulan, sebelum itu memberitahu beliau bersedia untuk membantu kelab kembali semula ke liga utama, selepas mengharungi 108 hari bersama Saints.

"Sungguh bagus menjadi jurulatih di Liga Perdana Inggeris dan jika saya mengambil jalan yang panjang untuk kembali ke sini, saya bersedia.

"Saya perlu berbincang dengan kelab, dengan idea-idea, dengan segalanya, dan apa yang mereka fikirkan, apa yang saya fikirkan dan sama ada kita boleh melakukannya atau tidak," katanya.

Dalam para itu, Southampton menegaskan matlamat mereka adalah untuk mengembalikan maruah kelab biarpun berdepan cabaran berikutan penyingkiran.

"Kami percaya adalah penting untuk memberi kejelasan kepada penyokong, pemain dan staf mengenai masa depan ketika kami menuju ke musim panas yang sangat penting," kata kelab itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!