'Tunai haji bukan setakat cukup duit'

SHAH ALAM - Konsep istito’ah atau kemampuan dari aspek kewangan, kesihatan, keselamatan serta urusan perjalanan ke Tanah Suci merupakan perkara utama yang perlu diberi penekanan seluruh umat Islam sebelum menunaikan ibadah haji.
Pembimbing haji dan umrah, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, istito’ah terbahagi kepada dua iaitu istito’ah mubasyirah dan istito’ah ghoiru mubasyirah.
Menurutnya, setiap bakal jemaah haji perlu memastikan bahawa mereka memenuhi syarat istito’ah untuk memastikan ibadah yang dilaksanakan berjalan dengan lancar dan penuh berkat.
Kata beliau, kesihatan merupakan elemen yang sangat penting dalam menilai kemampuan seseorang untuk menunaikan haji.
“Bakal jemaah haji perlu memastikan mereka berada dalam keadaan sihat secara fizikal dan mental sebelum memulakan perjalanan ke Tanah Suci.
“Pemeriksaan kesihatan sebelum berangkat adalah langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan yang boleh menjejaskan perjalanan ibadah,” kata beliau kepada Sinar Harian.
Tambah Mohd Fakhrulrazi, aspek kewangan juga merupakan syarat penting dalam menilai kelayakan seseorang untuk menunaikan haji.
Beliau berkata, istito’ah dari sudut kemampuan kewangan bukan sahaja untuk diri sendiri semasa di Tanah Suci tetapi juga tanggungjawab terhadap keluarga yang ditinggalkan.
Katanya, di Malaysia, Lembaga Tabung Haji (TH) memainkan peranan penting dalam membantu umat Islam merancang kewangan mereka untuk menunaikan haji.
“Melalui TH, umat Islam dapat menabung dengan sistematik bagi memastikan mereka mempunyai dana yang cukup untuk perjalanan ibadah haji,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain persediaan fizikal dan kewangan, keperluan keluarga yang ditinggalkan juga perlu diambil kira.
Katanya, sebelum berangkat ke Tanah Suci, seseorang itu harus memastikan bahawa ahli keluarga yang ditinggalkan mempunyai bekalan kewangan yang mencukupi.
Mohd Fakhrulrazi turut menasihatkan mereka yang mempunyai penyakit mengikuti nasihat doktor dan memastikan bahawa ubat-ubatan yang diperlukan dibawa dari awal.
Dalam pada itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin yang menunaikan ibadah berkenaan dua tahun lalu berkata, syarat haji bukan sekadar beragama Islam, baligh dan cukup akal.
Namun, menurutnya, yang perlu ditekankan adalah keupayaan seseorang untuk melakukan perjalanan pergi dan balik ke Makkah dalam keadaan selamat, sihat tubuh badan dan berkemampuan dari segi kewangan.
“Haji ini ibadah fizikal, maknanya ibadat pergerakan, kita perlu berjalan untuk melaksanakan tawaf, sai, melontar dan sebagainya.
“Jadi, untuk mereka yang hendak menunaikan haji hendaklah sedar bahawa kesihatan perlu diutamakan bukan sekadar perkara sampingan bagi memudahkan mereka ketika berada di sana (Tanah Suci),” katanya.
Sabar, sabar dan sabar
Menyentuh soal emosi, beliau menasihatkan supaya bakal haji dapat menerapkan sikap sabar terutama dalam menghadapi apa jua ujian dan rintangan termasuk melibatkan perkara yang tidak dijangka.
Menurut Mohd Uzir lagi, hasil pemerhatiannya ibadah haji tidak bergantung kepada faktor umur ataupun fizikal semata-mata.
“Tidak kira umur jika punya kekuatan mental dan kerohanian, kita boleh fokus lakukan ibadah di sana.
“Memang biasa orang tanya apa tip nak ke Makkah, tipnya adalah sabar, sabar dan sabar, kalau tanya tip ke-10 sekali pun, jawapannya tetap sabar,” katanya.
Mohd Uzir berkata, pentingnya untuk bakal haji mempunyai kefahaman yang tinggi bukan sekadar diperoleh daripada kursus-kursus haji yang disertai, namun ia perlu diamalkan dan dihayati lebih awal.
Beliau berkata, sekiranya ingin selalu solat jemaah di Masjidil Haram ataupun Masjid Nabawi, ia perlu dimulakan di negara ini terlebih dahulu.
“Kita kena amalkan dan jadikan ia sebagai rutin terlebih dahulu di sini (Malaysia), malah niat untuk meningkatkan ibadah juga perlu ada apabila berada di Tanah Suci kelak.
“Samalah seperti pemakanan, kena makan makanan diet yang tepat mengikut tahap kesihatan atau umur dan ia dimulakan di tanah air. Di Tanah Suci nanti minum air mencukupi kerana cuaca agak panas, jika nak ke mana-mana jangan keluar bila cuaca terlalu panas.
“Lagi satu yang penting kena ada niat nak membantu, kadang-kadang ALLAH SWT menguji kita dengan mendatangkan orang yang tiada kemampuan, jadi kita terutama yang muda dan sihat kena ada niat membantu mereka,” katanya.
INFO
Istito'ah mubasyirah - Merujuk kepada kemampuan seseorang untuk melaksanakan ibadah haji secara langsung. Dalam erti kata lain, jemaah tersebut perlu mempunyai kesihatan fizikal dan mental yang baik serta kemampuan untuk menjalankan semua rukun haji tanpa menghadapi kesulitan.
Istito'ah ghoiru mubasyirah - Apabila seseorang itu tidak dapat menunaikan haji secara fizikal kerana faktor kesihatan atau usia tetapi mereka mempunyai kewangan yang mencukupi. Dalam keadaan ini, individu tersebut boleh memilih untuk mewakilkan orang lain untuk menunaikan haji bagi pihak mereka, sama ada semasa mereka masih hidup atau selepas mereka meninggal dunia.
Istito'ah ialah kemampuan seseorang untuk menunaikan haji merangkumi:
1. Kesihatan yang baik – Haji boleh diwakilkan kepada orang lain jika faktor kesihatan dan fizikal yang tidak mengizinkan atau tiada harapan untuk sembuh.
2. Kemampuan kewangan – Termasuk perbelanjaan tambang, bekalan, tempat tinggal, keperluan semasa di Tanah Suci dan keperluan waris yang ditinggalkan di tanah air.
3. Kebenaran pihak Arab Saudi - Merujuk kepada kelulusan kuota dan visa haji.
4. Mahram – Syarat ditetapkan bagi jemaah wanita berusia bawah 45 tahun.
5. Kenderaan pergi dan balik - Mesti ada kenderaan yang sesuai untuk ke Tanah Suci dan pulang ke tanah air.
6. Aman dalam perjalanan - Tidak berasa bimbang terhadap keselamatan nyawa, harta benda atau wabak penyakit sewaktu bermusafir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
