Kalau tak 'melekat' berjam-jam di jalan raya bukan raya namanya

SETIAP kali tiba musim perayaan, dianggarkan lebih dua juta kenderaan bergerak untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Tidak kira di mana, Pantai Timur mahu pun utara, kesesakan jalan raya sering menjadi dilema kepada pengguna jalan raya sehinggakan ia menjadi igauan tahunan, dalam keghairahan untuk pulang berhari raya bersama yang tercinta.
Maka kita akan lihat pelbagai perkongsian di media sosial, ada yang ‘melekat’ lapan jam, ada yang sehingga 13 jam belum sampai ke destinasi kampung halaman masing-masing.
Merak Jalanan juga antara jutaan yang saban tahun melalui pengalaman sama, cuma tempoh masa saja yang berbeza.
Kalau biasanya empat ke lima jam, musim perayaan ini kita kena buat tetapan minda yang ia akan mengambil masa mungkin dua kali ganda masa perjalanan.
Melalui episod sama setiap tahun membuatkan Merak Jalanan terfikir, betapa kesesakan ini juga sebahagian daripada komponen hari raya yang perlu kita terima.
Dengan kata lain, kalau tak ‘melekat’ di jalan raya, bukan raya namanya. Jika ini kita dapat terima di minda, maka emosi kita akan terkawal, menjadikan perjalanan kita akan lebih seronok.
Ini kerana, dalam ‘jem tak ingat’ itu jugalah kita sebenarnya mempunyai masa yang sangat berkualiti, berharga dan sepenuhnya bersama keluarga.
Jadikan peluang bersama-sama mengharungi kepadatan lebuh raya sebagai ruang untuk berkongsi pendapat, idea, curahan hati kepada ahli keluarga serta ruang untuk bersembang secara terus dengan anak-anak.
Jadi, mengapa kita nak jadikan kesesakan itu sebagai alasan mengeluh, caci maki serta tidak puas hati. Kalau kita pandai memanfaatkan suasana, kita akan dapati betapa berharganya masa bersama itu untuk manfaat keluarga.
Kalau mengeluh sepanjang jalan pun tak dapat apa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
