Gempa bumi di Myanmar: Hujan rumitkan pemulihan, angka korban lebih 3,500

Pasukan Mencari dan Menyelamat China, dan pasukan penyelamat dari Hong Kong China menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kediaman Sky Villa di Mandalay, Myanmar. Foto Xinhua
Pasukan Mencari dan Menyelamat China, dan pasukan penyelamat dari Hong Kong China menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kediaman Sky Villa di Mandalay, Myanmar. Foto Xinhua
A
A
A

BANGKOK - Angka kematian akibat gempa bumi 7.7 magnitud yang melanda Myanmar 10 hari lepas, meningkat kepada sekurang-kurangnya 3,514, dengan 210 orang lagi masih hilang, menurut angka yang dikeluarkan oleh kerajaan tentera Myanmar pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Kebanyakan korban dilaporkan di sekitar Mandalay, bandar kedua terbesar di negara itu, iaitu lebih 2,100 kematian telah disahkan.

Usaha bantuan terjejas teruk oleh hujan lebat dan angin kencang yang berterusan, merosakkan khemah dan kemudahan perubatan sementara yang disediakan oleh pasukan antarabangsa.

Pakar meteorologi memberi amaran tentang peningkatan risiko banjir dan tanah runtuh apabila menjelangnya musim hujan.

Pihak berkuasa mengisytiharkan operasi mencari dan menyelamat selesai, mengalihkan tumpuan kepada pemulihan dan pembersihan. Laporan menunjukkan rumah mayat sudah tidak dapat menampung, dengan pembakaran mayat secara besar-besaran dilakukan di kawasan terbuka.

Di banyak kawasan zon bencana, bau mayat yang mereput sangat kuat di udara, menyebabkan pekerja bantuan dan penduduk sukar bertahan.

Gegaran susulan yang berterusan telah membuatkan ramai terlalu takut untuk kembali ke rumah mereka, memaksa mereka tidur di luar rumah.

Keadaan semakin teruk dengan gegaran susulan yang kerap dan gangguan Internet yang menyebabkan usaha komunikasi dan koordinasi bantuan terhalang.

Kemusnahan di beberapa kawasan adalah sangat teruk, menyaksikan 80 peratus infrastruktur di bandar Sagaing musnah, menurut akhbar The Irrawaddy. Keadaan kemanusiaan kekal kritikal, terutamanya bagi golongan rentan di negara yang dilanda konflik itu. - Bernama/dpa

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!