Terengganu rancang wujudkan garisan tukun 245km sepanjang pesisir pantai

Antara kawasan tukun tiruan yang menjadi habitat pembiakan ikan di sepanjang pantai Terengganu. FOTO: Facebook Dr Azman Ibrahim
Antara kawasan tukun tiruan yang menjadi habitat pembiakan ikan di sepanjang pantai Terengganu. FOTO: Facebook Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu merancang untuk mewujudkan garisan tukun sepanjang 245 kilometer (km) jajaran pantai negeri itu bermula dari Kemaman hingga ke Besut.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, projek itu bertujuan memelihara kelestarian alam pada masa kini dan akan datang dengan sasaran utama melabuhkan satu kelompok tukun bagi setiap 1km.

"Tahun ini, kita merancang melabuhkan kira-kira 100 unit tukun tiruan konkrit berbentuk kuboid yang akan diagihkan secara adil ke semua daerah yang mempunyai pesisir pantai.

"Setakat ini, lebih 1,600 unit tukun telah ditempatkan di sepanjang pantai Terengganu," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Azman berkata, inisiatif itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara sumber perikanan dan ekosistem laut serta memberi manfaat kepada nelayan dan peminat aktiviti rekreasi di kawasan tersebut.

Beliau berkata, kajian dijalankan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bersama Jabatan Perikanan Malaysia mendapati purata kepadatan ikan di tukun-tukun Terengganu tertinggi di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Kajian tersebut menyatakan kepadatan ikan di tukun-tukun Terengganu ialah yang tertinggi dengan kira-kira 75 peratus kepadatan mengatasi Kelantan, Pahang dan Johor Timur," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tukun tersebut terbahagi kepada dua kategori iaitu tukun rekreasi dan tukun konservasi.

"Tukun rekreasi dilabuhkan di luar kawasan taman laut dan terbuka untuk nelayan serta pemancing rekreasi.

Artikel Berkaitan:

"Tukun konservasi pula dilabuhkan di kawasan taman laut untuk tujuan pembiakan hidupan laut dengan larangan aktiviti penangkapan ikan.

"Rasionalnya, kita perlu ada suatu kawasan yang digazetkan sebagai zon pembiakan ikan tanpa gangguan bagi terus memperkayakan sumber perikanan," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!