Penyelia tapak nafi tipu urusan jual tanah RM2 juta

Tuan Hai (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka pada Isnin.
Tuan Hai (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Seorang penyelia tapak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan memperdaya dalam urusan penjualan tanah bernilai RM2 juta.

Tertuduh, Law Tuan Hai, 62, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah memperdayakan individu berusia 54 tahun bahawa dia merupakan pemilik berdaftar tanah itu untuk urusan pembelian tanah berkenaan oleh tiga individu lain sehingga mendorong mereka membuat bayaran berjumlah RM2 juta ke akaun sebuah bank didaftarkan atas nama tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Tetuan Ching Kah Khen & Harris di Taman Malim Jaya, di sini, pada Oktober 2023.

Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan dalam lingkungan RM100,000 terhadap tertuduh kerana jumlah kerugian ditanggung mangsa melibatkan jutaan ringgit.

Sementara itu, Peguam tertuduh Low Huey Theng memohon anak guamnya dikenakan jaminan rendah dengan alasan tertuduh hanya memperolehi pendapatan RM5,000 sebulan.

Hujahnya lagi, tertuduh turut menghidap sakit buah pinggang kronik dan perlu mengumpul duit untuk mendapatkan rawatan doktor pakar di Singapura selain menjaga ibu yang telah tua dan seorang isteri serta dua anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah juga mengenakan syarat tidak boleh mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dikehendaki hadir setiap kali sebutan dan perbicaraan kes.

Mahkamah turut menetapkan 22 Mei depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!