Kerajaan teliti semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman

Kerajaan akan meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja Akta SPK selaras dengan semangat pembaharuan institusi. Foto FB Anwar Ibrahim
Kerajaan akan meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja Akta SPK selaras dengan semangat pembaharuan institusi. Foto FB Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan meneliti semula secara menyeluruh kerangka kerja Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta SPK) selaras dengan semangat pembaharuan institusi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan proses pelantikan kehakiman benar-benar mencerminkan prinsip ketelusan serta kebebasan badan kehakiman tanpa menjejaskan peranan Yang di-Pertuan Agong dan keistimewaan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya menyedari bahawa struktur dan keanggotaan SPK serta peranannya dalam proses pelantikan kehakiman telah dipersoalkan sejak sekian lama dalam kalangan pelbagai pihak termasuk badan kehakiman, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani (NGO).

"Persoalan ini bukan sesuatu yang boleh diketepikan dan ia menuntut penelitian serius dari sudut dan lensa undang-undang, institusi dan Perlembagaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Anwar berkata, kajian semula itu akan melibatkan rundingan bersama pihak berkepentingan termasuk institusi kehakiman, Majlis Raja-Raja, Majlis Peguam dan pertubuhan masyarakat madani dengan matlamat memperbaiki sebarang kelompangan serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan negara.

"Sebarang reformasi yang dibawa kelak akan menyemangati prinsip Perlembagaan, yakni memelihara doktrin pengasingan kuasa, menjunjung sistem Raja Berperlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

"Hanya dengan asas yang kukuh ini, kita dapat memastikan kestabilan jangka panjang dan sistem demokrasi negara kekal terjamin," jelas Anwar.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menghormati sepenuhnya hak mana-mana individu untuk mendapatkan tafsiran Perlembagaan melalui saluran serta jalur kehakiman.

"Ini adalah antara tonggak penting dalam sistem demokrasi berperlembagaan yang berpaksikan kedaulatan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Seperti dalam mana-mana proses mahkamah, kerajaan memberi jaminan ia berjalan tanpa campur tangan atau prejudis sama sekali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!