Dugaan mangsa dan cabaran petugas keselamatan

Tragedi letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya berlaku pada hari kedua Aidilfitri
Tragedi letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya berlaku pada hari kedua Aidilfitri
A
A
A

TRAGEDI letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku di hari kedua Aidilfitri sangat memberi cabaran kepada penghuni kediaman yang terjejas.

Bukan itu sahaja, pasukan petugas keselamatan juga bertungkus-lumus merencanakan gerak kerja yang pantas untuk mengawal situasi.

Mana tidaknya, ada penghuni yang cedera selain kerugian besar akibat kediaman, kenderaan serta harta benda musnah.

Kalau dilihat kesan letusan itu sangat menakutkan. Boleh dibayangkan situasi masa itu bagaimana, kejadian mengejut dengan letusan api yang panas.

Api yang menjulang tinggi sampai boleh dilihat dari jarak berkilometer dan penduduk kampung berhampiran juga mendakwa bahang panas itu boleh dirasakan mereka, apatah lagi penduduk yang bersebelahan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memaklumkan, proses memadam kebakaran sepenuhnya itu memakan masa hampir lapan jam dan meninggalkan kesan yang ketara, dengan terbentuknya sebuah kawah sedalam 9.75 meter.

Insiden itu juga mengubah landskap kawasan berkenaan, yang kini bertukar kepada lubang besar dengan keluasan kira-kira 21.33 x 24.38 meter.

Polis turut mengesahkan 235 premis serta 399 kenderaan terjejas dalam kejadian itu.

Daripada jumlah itu, 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.

Artikel Berkaitan:

Kalau diimbas semula, kejadian pada 1 April itu tular selepas beberapa rakaman video menunjukkan api yang menjulang tinggi dipercayai melebihi 15 tingkat bangunan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi.

Dalam situasi bencana besar sebegitu, pasukan penyelamat memainkan peranan besar dalam mengatur gerak keanggotaan termasuk unit-unit elit daripada pasukan masing-masing.

Diharap pasukan penyiasat daripada agensi terlibat dapat merungkai punca kejadian dan mengheret individu bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ini kerana tragedi itu menyebabkan ratusan penduduk cedera selain kerosakan besar dengan kos yang sangat tinggi.

Dalam masa sama diucapkan terima kasih kepada penduduk, pihak kuil serta masjid yang memberi bantuan awal kepada mangsa terjejas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!