Kebakaran Putra Heights: Polis gali semula laluan paip kumbahan

Hussein pada sidang media di Pusat Media Pos Kawalan Tempat Kejadian di Putra Heights, pada Ahad.
Hussein pada sidang media di Pusat Media Pos Kawalan Tempat Kejadian di Putra Heights, pada Ahad.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis Selangor menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Selasa lalu, dengan menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan itu bertujuan mengenal pasti sama ada kerja-kerja korekan oleh kontraktor terbabit mempunyai kaitan dengan kejadian kebakaran berkenaan.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan dengan menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor.

“Paip itu didapati berada pada kedalaman 2.1 meter dari aras jalan sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Pos Kawalan Tempat Kejadian di Putra Heights, hari ini.

Beliau berkata, kerja-kerja korekan sebelum ini tidak melebihi tiga meter dengan kelebaran sekitar 1.5 meter sepanjang kira-kira 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi.

“Laluan jalan yang digunakan merentasi saluran paip gas Petronas merupakan jalan yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa.

“Kerja-kerja galian yang dijalankan semula menggunakan tiga jengkaut, satu jentolak dan satu backhoe itu bertujuan membuka semula kawasan berkenaan dan meninjau kedudukan paip gas yang dipercayai berada pada kedalaman antara enam hingga tujuh meter,” katanya.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati paip gas berada pada kedalaman 5.6 meter, manakala paip kumbahan yang dipasang berada pada paras 2.1 meter.

“Ini menjadikan jarak antara kedua-dua paip berkenaan kira-kira 1.6 meter,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, setakat ini, keadaan fizikal paip gas tidak menunjukkan sebarang kesan gangguan yang ketara.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan secara menyeluruh dan belum dapat disahkan sama ada kerja-kerja korekan itu mengganggu atau mencetuskan kebakaran pada saluran paip gas berkenaan.

“Kerja-kerja ini dipantau secara bersama oleh polis, Petronas, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan pihak kontraktor,” katanya.

Ujarnya, keseluruhan laluan saluran paip masih perlu didedahkan sepenuhnya bagi membolehkan siasatan lengkap dijalankan dan sebarang kemungkinan dinilai secara menyeluruh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!