Kebakaran Putra Heights: 220 rumah disahkan selamat diduduki

Hussein (duduk, dua kanan) mengadakan sidang media kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya pada Ahad.
Hussein (duduk, dua kanan) mengadakan sidang media kejadian kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya pada Ahad.
A
A
A

SUBANG JAYA - Sebanyak 220 daripada 439 kediaman yang dinilai dalam radius kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selasa lalu, disahkan tidak terjejas dan selamat untuk diduduki.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 219 rumah lagi dikenal pasti mengalami kerosakan.

“Daripada jumlah itu, 87 rumah mengalami kerosakan besar melebihi 20 peratus, manakala 132 rumah mengalami kerosakan kecil iaitu kurang daripada 20 peratus,” katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Putra Heights, pada Ahad.

Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor bersama syarikat utiliti serta pihak berkuasa tempatan (PBT) telah selesai menjalankan penilaian kali kedua yang lebih terperinci, termasuk di dalam rumah.

“Penilaian kali ini meliputi radius yang lebih besar iaitu 325 meter dari pusat letupan berbanding 280 meter sebelum ini.

“Hasil penilaian ini mendapati 220 rumah dalam lingkungan tersebut tidak terjejas dan disahkan selamat untuk diduduki,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian pada jam 8.10 pagi, 1 April lalu, saluran paip gas milik Petronas terbakar, menyebabkan api menjulang lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Hussein berkata, rumah yang mengalami kerosakan di bawah 20 peratus dibenarkan dibaiki oleh penghuni atau pemilik bermula hari ini.

“Senarai rumah terbabit akan diedarkan dan dimaklumkan kepada pemilik masing-masing,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, sebanyak 130 rumah telah dibenarkan untuk diduduki semula.

“Pada hari ini, 24 lagi rumah di Kampung Kuala Sungai Baru dibenarkan untuk diduduki, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 154 rumah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!