Aliran kontra di Persiaran Harmoni bermula tengah malam ini

Hussein semasa mengadakan sidang media insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya pada Ahad.
Hussein semasa mengadakan sidang media insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya pada Ahad.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan akan melaksanakan sistem aliran kontra (contra flow) di Jalan Persiaran Harmoni bermula jam 12 tengah malam ini sehingga selesai Operasi Gas susulan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laluan terbabit melibatkan kawasan di hadapan khemah Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), dari arah Kingsley menghala ke Petronas.

“Laluan ini hanya dibuka kepada kenderaan petugas dan penghuni yang memiliki pas khas.

“Petugas juga tidak dibenarkan meletakkan kenderaan di laluan contra flow bagi memastikan kelancaran trafik,” katanya dalam sidang akhbar di PKTK, Putra Heights pada Ahad.

Pada 1 April lalu, saluran paip gas Petronas terbakar pada jam 8.10 pagi, menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.

Kebakaran itu mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah lagi mengalami kerosakan tetapi boleh dibaiki dan diduduki semula.

Mengulas lanjut, Hussein menggesa pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.

“Orang ramai diminta mematuhi arahan petugas di lokasi serta papan tanda yang disediakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!