Kebakaran Putra Heights: Main mercun antara 642 laporan diterima polis

SUBANG JAYA - Bermain mercun pada malam sebelum kejadian kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights, antara perkara yang dilaporkan dalam 642 laporan polis yang diterima setakat ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata semua laporan itu sedang disiasat secara lanjut dan terperinci.
"Kesemua laporan ini dibuka di bawah Kertas Inkuiri Polis dan siasatan masih dijalankan, termasuk satu laporan polis yang menyatakan ada individu yang bermain mercun pada malam 31 Mac," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Pos Kawalan Tempat Kejadian di Putra Heights, pada Ahad.
Menurut beliau, sebanyak 118 percakapan saksi telah dirakam membabitkan pelbagai pihak, termasuk 15 individu terdiri daripada kontraktor dan pekerja berkaitan siasatan kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan teknikal oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) masih belum dapat dimulakan kerana lokasi kejadian masih dalam fasa penstabilan kawasan bencana.
“Keadaan tanah di kawasan berkenaan sangat terjejas akibat letupan dan kini bertakung air kerana hujan lebat,” katanya.
Tambah beliau, pelan tindakan teknikal bagi fasa pemulihan bencana itu melibatkan beberapa peringkat pelaksanaan.
“Fasa pertama telah selesai pada 6 April 2025, yang membabitkan pengaliran sementara saliran monsun yang merentasi paip gas milik Petronas serta kerja-kerja heat mapping dalam radius 300 meter dengan bacaan suhu antara 100 hingga 650 darjah Celsius,” jelasnya.
Beliau berkata, fasa kedua sedang berjalan yang memfokuskan kepada penstabilan tanah sebelum kerja pengorekan untuk mendedahkan paip gas dapat dilakukan.
“Proses pengimbasan tanah, penarafan tanah dan pemasangan sheet pile dijadualkan berlangsung antara 7 hingga 15 April 2025,” katanya.
Menurutnya, fasa ketiga akan melibatkan kerjasama antara JKKP dan pihak polis untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian letupan itu.
“Fasa terakhir pula akan menumpukan kepada pemeriksaan, pembaikan serta penyambungan semula bekalan paip gas yang terkesan, yang akan dilaksanakan oleh pihak Petronas,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
