X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin terima ucapan tahniah daripada pemimpin luar

Muhyiddin sewaktu menerima panggilan daripada Jokowi selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan di kediaman peribadinya hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi, bersempena pelantikan beliau sebagai perdana menteri.

Ucapan itu disampaikan menerusi panggilan telefon masing-masing dari Singapura pada jam 2.54 petang dan dari Jakarta pada jam 8.06 malam.

Dalam perbualan selama hampir enam minit bersama Hsien Loong, Perdana Menteri menyatakan hubungan dua hala Malaysia dan Singapura yang terjalin baik selama ini akan terus diperkukuhkan.

"Hubungan dengan Singapura sentiasa terjalin baik dan kini sudah tentu tugas besar saya adalah untuk perkukuhkannya lagi," katanya dalam perbualan itu.

Sambil mengucapkan selamat maju jaya, Perdana Menteri Singapura itu menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Muhyiddin memimpin negara atas dasar pengalamannya yang luas dalam arena politik dan pentadbiran negara.

Sementara itu, dalam perbualan telefon kira-kira tiga minit antara Jokowi dan Muhyiddin, presiden itu memberi jaminan sentiasa bersedia untuk bekerjasama di bawah pemerintahan Muhyiddin.

"Atas nama bangsa Indonesia, saya ingin mengucapkan selamat atas lantikan Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri kelapan.

"Pemerintah Indonesia siap (sedia) bekerjasama dengan pemerintahan Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin untuk memperkuat hubungan bilateral antara Malaysia dan Indonesia yang sudah terjalin baik selama ini," kata Jokowi kepada Muhyiddin.

Menerusi perbualan telefon yang disaksikan oleh Bernama dan RTM itu, Muhyiddin antara lain berkata, beliau akan akan terus memperkukuh hubungan baik dua negara itu.

"Saya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu bukan setakat meneruskan, bahkan mengukuhkan lagi (hubungan).

"Ini hubungan yang amat istimewa kerana kita selalu disebutkan serumpun bangsa dan kami amat menghargai segala usaha yang telah bapak lakukan malahan kagum dengan kejayaan bapak sejak memimpin yang terbaru ini (Kabinet baharu Indonesia)," katanya.

Kedua-dua pemimpin itu turut mengundang Muhyiddin untuk berkunjung ke negara masing-masing. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!