'Bunyi letupan macam jet pejuang, bahang sampai kena terjun sungai'

SUBANG JAYA - Bunyi letupan yang kuat seperti jet pejuang serta bahang api melampau memaksa penduduk terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan diri dalam kejadian letupan paip gas di Putra Heights pada pagi Aidilfitri lalu.
Pegawai teknikal keselamatan, Muhammad Faizal Hamzah, 32, berkata, dia melihat ramai penduduk kampung panik dan kelam-kabut dengan beberapa mangsa terpaksa melarikan diri dalam keadaan huru-hara selepas mendengar bunyi letupan sangat kuat.
“Saya sedang mandikan anak untuk pergi beraya di Banting, namun terkejut mendengar bunyi letupan kuat seperti jet pejuang dari atas rumah. Anak mula menangis dan haba terasa sangat panas ketika itu.
“Ramai penduduk menyangka kapal terbang terhempas dan kami semua berada dalam ketakutan.
"Apabila keluar rumah, saya nampak api menjulang tinggi sekitar 500 meter dari kediaman,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Muhammad Faizal yang juga penduduk Kampung Kuala Sungai Baru turut berkongsi, keadaan semakin huru-hara apabila penduduk terpaksa melarikan diri sehingga terjun ke dalam sungai berhampiran.
"Keadaan ketika kejadian sangat huru-hara, ada yang hilang dan terjun ke sungai akibat keadaan terlalu panas.
"Mereka yang dekat dengan tempat kejadian terasa seperti ayam sedang dipanggang.
"Saya nampak sekitar 20 orang termasuk warga emas yang terjun sehingga patah kaki akibat jatuh dari tebing sungai tinggi.
"Ada juga yang menggendong bayi dan berjalan kaki tanpa pakaian," ujarnya.
Tambah beliau, setelah api berjaya dipadamkan sekitar jam 3 petang, dia bersama beberapa penduduk kampung mengambil tindakan segera untuk memastikan keselamatan penduduk.
“Saya dan beberapa penduduk kampung cuba mengawal keadaan sebelum pihak berkuasa tiba dan menempatkan mangsa-mangsa di surau berdekatan.
“Kami juga mencari mangsa di sungai berhampiran dan memastikan tiada lagi penduduk yang berada di kampung kerana bimbang berlaku risiko letupan susulan,” jelasnya.
Muhammad Faizal turut berharap agar bantuan segera dapat disalurkan kepada penduduk terjejas.
“Jiran-jiran yang terkesan sangat memerlukan bantuan terutama dari segi tempat tinggal, kenderaan dan kewangan. Pendapatan mereka terjejas sepenuhnya.
“Seorang rakan saya yang bekerja sebagai pemandu bas mengalami kerugian besar kerana kenderaan itu rosak dan kini dia tidak dapat menghantar pelajar ke sekolah.
"Justeru, mereka sangat memerlukan bantuan daripada mana-mana pihak yang prihatin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!