'Projek pembangunan ada kelulusan' - Datuk Bandar Subang Jaya

SUBANG JAYA - Projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, kata Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim.
Menurutnya, projek berkenaan bukan berada dalam Rizab Laluan (ROW) Petronas dan diberikan kelulusan serta kebenaran merancang (KM) pada 2022.
"Projek itu melalui proses kelulusan yang sewajarnya, termasuk mendapatkan kebenaran daripada pihak Petronas untuk menggunakan ROW bagi laluan Indah Water Konsortium (IWK).
"Selain itu, kontraktor yang terbabit juga adalah panel yang diluluskan oleh IWK dan Petronas,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, pada Rabu.
Mengulas dakwaan yang tersebar di media sosial berhubung projek berkenaan, Amirul Azizan berkata, pihaknya tidak akan memberikan sebarang respons rasmi buat masa ini berikutan siasatan terperinci masih dijalankan oleh Petronas, polis dan pihak berkuasa berkaitan.
"Setskat ini, apa yang tersebar di media sosial bukanlah kenyataan rasmi. Kita perlu menunggu hasil siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran dan letupan tersebut,”katanya.
Amirul Azizan turut mengakui bahawa projek berkenaan sepatutnya siap pada Disember tahun lalu, namun mengalami sedikit kelewatan kerana masih dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
"Saya tidak pasti punca sebenar kelewatan ini kerana ia di luar bidang kuasa, Mungkin melibatkan faktor kewangan atau lain-lain, tetapi apa yang pasti semua kelulusan diperoleh mengikut prosedur yang ditetapkan.
"Projek itu mematuhi segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.
Pada Selasa, media melaporkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.10 pagi.
Balai bantuan turut terlibat ialah BBP Puchong, BBP Shah Alam, BBP Jelutong, BBP Cyberjaya, BBP Rawang, BBP Klang Selatan, BBP Klang Utara dan BBP Damansara, BBP KLIA dan BBP Serdang.
Kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas Petronas sepanjang kira-kira 500 meter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
