Tempoh pembelian saham CUCKOO Malaysia berakhir 10 April ini

KUALA LUMPUR – Tempoh pembelian saham Jenama Pencipta Kediaman Sihat, CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia) pada harga Tawaran Awam Permulaan (IPO) akan berakhir 10 April 2025.
Orang awam yang berminat untuk membuat pembelian saham berkenaan boleh berbuat demikian segera sebelum jam 5 petang pada Khamis depan.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengumpul anggaran RM184.8 juta melalui penerbitan 143,280,000 saham terbitan pada Harga IPO.
Katanya, harga awal bagi Saham Terbitan yang ditawarkan di bawah tawaran runcit IPO Syarikat (Tawaran Runcit) ditetapkan pada Harga Runcit RM1.29 sesaham.
“Walau bagaimanapun, harga akhir sesaham bagi pelabur runcit akan ditentukan dan diumumkan selepas pelabur institusi membuat bidaan untuk menentukan harga institusi yang akan dibayar dalam tawaran institusi IPO Syarikat (Harga Institusi).
“Harga akhir bagi Tawaran Runcit (Harga Runcit Akhir) akan menjadi harga yang lebih rendah antara Harga Runcit dan Harga Institusi. Jika Harga Runcit Akhir lebih rendah daripada Harga Runcit, perbezaan harga akan dikembalikan kepada pemohon yang berjaya tanpa faedah,” katanya dalam satu kenyataan.
CUCKOO Malaysia yang komited dalam memupuk gaya hidup lebih sihat untuk pelanggan melalui peralatan rumah, barangan isi rumah, produk penjagaan kulit dan makanan bernutrisi, serta servis penjagaan kediaman telah melancarkan IPO prospektus syarikatnya pada 26 Mac lalu.
Pelancaran prospektus adalah bertepatan dengan cadangan penyenaraian CUCKOO Malaysia di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) yang dijadualkan pada 30 April 2025.
Mengulas lanjut, Kian Choon berkata, berdasarkan jumlah saham biasa yang diperbesar kepada 1,432,800,000 saham selepas penyenaraian dan Harga IPO, anggaran modal pasaran syarikat adalah kira-kira RM1.85 bilion.

Menurutnya, hasil daripada IPO tersebut, CUCKOO Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan pasaran mereka melalui pengembangan produk dan servis dengan, peningkatan SKU produk bagi memperluaskan segmen pelanggan.
“CUCKOO Malaysia kini merupakan pemain kedua terbesar dalam industri penyewaan peralatan rumah dan barangan isi rumah di Malaysia berdasarkan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dengan pegangan pasaran dianggarkan sebanyak 19.6 peratus dan berdasarkan jumlah pesanan aktif setakat 31 Disember 2024 dengan pasaran dianggarkan pada 23.1 peratus. CUCKOO Malaysia juga adalah peneraju pasaran berdasarkan jumlah cawangan setakat 28 Februari 2025,” ujarnya.
Kata beliau, CUCKOO Malaysia turut merancang untuk memperkukuh kehadiran dalam talian dan luar talian serta menambah baik pasukan jualan dan perkhidmatan bagi meningkatkan pengalaman pelanggan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
