Polis serbu pusat snuker jadi pusat judi dalam talian di Kuala Pilah

KUALA PILAH - Seorang lelaki yang bertindak sebagai operator tambah nilai kredit judi dalam talian ditahan menerusi Ops Dadu dijalankan di Jalan Bukit Taman Bukit Pilah Perdana pada Rabu lalu.
Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah dibuat selepas menerima maklumat awam berhubung pusat snuker dijadikan pusat judi dalam talian seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, serbuan tersebut turut dibantu cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan serta Balai Polis Kuala Pilah.
"Di dalam serbuan tersebut, lelaki berusia 23 tahun telah ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Selain itu, polis turut merampas barang-barang yang digunakan untuk aktiviti perjudian secara online serta sebuah telefon bimbit," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan isu tular membabitkan kegiatan judi dalam talian berkenaan yang didakwa beroperasi secara terbuka.
Ia didedahkan penduduk setempat yang meluahkan kebimbangan berikutan aktiviti tersebut mula menular di kawasan itu dan memberikan imej tidak baik terhadap pekan Kuala Pilah.
Menerusi perkongsian itu pengadu memaklumkan, premis itu dikatakan menjadi tempat untuk kaki judi membeli kredit judi dalam talian.
Menurut pengadu, modus operandi aktiviti itu berselindung di sebalik pintu tangga selain terdapat dua wanita warga asing yang duduk di situ mencari pelanggan dengan mempromosi judi dalam talian.
Dalam pada itu, Muhamad Mustafah berkata, PDRM akan terus memantau serta membuat risikan dari semasa ke semasa bagi mengesan seterusnya mengekang kegiatan perjudian tersebut daripada terus berleluasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

