Pusat snuker bertukar jadi pusat judi online

KUALA PILAH - Sebuah pusat snuker di pekan Kuala Pilah di sini didakwa dijadikan pusat judi dalam talian dan beroperasi secara terbuka.
Isu yang tular di media sosial itu didedahkan penduduk setempat yang meluahkan kebimbangan berikutan aktiviti tersebut mula menular di kawasan itu dan memberikan imej tidak baik terhadap pekan Kuala Pilah.
Menerusi perkongsian itu pengadu memaklumkan, premis itu dikatakan menjadi tempat untuk kaki judi membeli kredit judi dalam talian.
Menurut pengadu, modus operandi aktiviti itu berselindung di sebalik pintu tangga selain terdapat dua wanita warga asing yang duduk di situ mencari pelanggan dengan mempromosi judi dalam talian.
"Waktu operasi mereka dari pagi hingga tengah malam dengan jarak kedai lebih kurang 100 meter dari Masjid India Pekan Kuala Pilah manakala jarak ke Balai Polis Kuala Pilah sekitar satu kilometer.
"Aktiviti ini telah menyebabkan imej Kuala Pilah tercemar. Pelanggan tanpa kira usia. Selama membesar di Kuala Pilah, ini kali pertama saya nampak satu sindiket perjudian yang begitu berani secara terang-terangan melakukan aktiviti tidak berfaedah kepada masyarakat, " menurut perkongsian media sosial yang tular sejak Selasa lalu.
Pada masa sama, pengadu mempersoalkan tindakan pihak berkuasa berhubung isu itu dan mempertikai sama ada aktiviti itu dilindungi oleh mana-mana pihak.
"Saya tengok sepanjang Ramadan lalu, kedai itu beroperasi seperti biasa, tiada ada yang kena tangkap.
"Jika isu ini terus berlarutan, Kuala Pilah akan menjadi pekan perjudian, saya harap isu ini dapat ditangani agar tidak merosakkan imej Kuala Pilah," katanya.
Sementara itu, maklumat awal diterima daripada Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin memaklumkan, PDRM telah mengambil tindakan serta-merta dengan membuat tangkapan berhubung isu tular itu.
Ujarnya, siasatan mendapati, kegiatan perjudian itu bergerak secara mobil dan tidak setempat.
Beliau memaklumkan akan memberikan kenyataan media berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

