Tarif 24 peratus: Kerajaan, pembangkang perlu sumbang idea pertahan ekonomi

Mujahid Yusof Rawa
Mujahid Yusof Rawa
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak termasuk kerajaan mahu pun pembangkang perlu menyumbang idea dan pemikiran bernas demi mempertahankan ekonomi negara susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus terhadap barangan import dari Malaysia.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kedaulatan ekonomi adalah maruah negara dan mempolitikkan impak cabaran ekonomi adalah seburuk-buruk pengkhianatan.

Menurutnya, ujian terbesar bagi Malaysia secara domestik ialah bagaimana keadaan ini sepatutnya membawa semua pihak kepada titik konsensus nasional dalam melihat ekonomi negara perlu kukuh dan stabil.

"Kepimpinan negara akan memainkan peranan kritikal dalam menangani impak tarif baharu ini dengan meneruskan, membina dan mengekalkan keutuhan fundamental ekonomi sama ada secara mikro atau makro.

"Kelebihan Malaysia selama ini adalah kerana fundamental ekonomi yang kukuh memberikan ketahanan dalam perubahan landskap perdagangan global yang drastik dan tidak menentu.

"Ia terletak juga kepada kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, yang pada tahun 2022 sebelumnya telah memasuki persetujuan serantau antara negara ASEAN dan Australia, New Zealand, Jepun, China dan Korea Selatan," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif baharu terhadap Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah perdagangan global.

Menurutnya, kadar tarif tinggi turut dikenakan terhadap beberapa negara lain yang berdagang dengan AS.

Tambah Mujahid, dari sudut dasar negara pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan telah menetapkan sejak dari awal lagi asas persediaan ketidaktentuan sebagai latar kemunculan ekonomi Madani.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, maka, pendekatan ekonomi yang berteraskan kemampanan serta kemakmuran rakyat telah melahirkan ekonomi yang bersifat transformatif.

"Antara produk Ekonomi Madani ialah Pelan Induk Baharu Perindustrian atau New Industrial Master Plan (NIMP) yang akan meningkatkan sektor industri negara mengikut keutamaan negara.

"NIMP adalah antara penampan kepada impak global daripada perubahan dasar penguatkuasaan tarif ini dan perlu diperkukuhkan lagi.

"Malaysia juga bersiap sedia ke arah pelan baharu perpindahan ekonomi tenaga fosil kepada tenaga boleh diperbaharui dengan pakej insentif ekonomi hijau," katanya.

Ujar beliau, pelan ini memberi peluang untuk Malaysia mencari potensi rakan perdagangan baharu yang tidak terikat dengan pandangan ke blok Barat semata-mata ketika kemajuan teknologi telah beralih kepada negara-negara seperti India dan China.

"Keseluruhannya, kedudukan infrastruktur ekonomi Malaysia yang sedia ada dan ekonomi Madani yang strukturnya sentiasa bersiap siaga kepada ketidaktentuan dan keadaan kecamuk diyakini mampu menerima impak tarif baharu secara tenang.

"Malah mampu melihat peluang-peluang baharu di sebalik tindakan tarif timbal balas Trump," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!