Mangsa kebakaran di Putra Heights nafi dakwaan tercicir terima bantuan

Pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada mangsa sejak hari pertama insiden berlaku pada Selasa lalu. Gambar kecil dari kiri: Zurina, Airis Sofea, Halimah Nur Sarah
Pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada mangsa sejak hari pertama insiden berlaku pada Selasa lalu. Gambar kecil dari kiri: Zurina, Airis Sofea, Halimah Nur Sarah
A
A
A

SUBANG JAYA - Penduduk yang terkesan akibat insiden kebakaran paip gas di Putra Heights menafikan dakwaan bahawa mereka tercicir daripada menerima bantuan yang disalurkan oleh pihak berkuasa serta agensi berkaitan.

Salah seorang mangsa, Zurina Isa, 49, berkata, pelbagai bentuk bantuan telah diberikan secara berperingkat sejak kejadian berlaku pada 1 April lalu.

"Ia termasuk bantuan pendidikan, keperluan harian, penginapan sementara dan sokongan psikososial. Kami benar-benar dibantu sejak hari pertama," ujarnya yang menetap di Kampung Kuala Sungai Baru.

Zurina merupakan antara ratusan mangsa yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya di sini.

Pandangan itu turut dikongsi oleh Nurul Izati Ramli, 36, yang mempunyai ramai ahli keluarga menetap di Kampung Kuala Sungai Baru.

Beliau memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah turun padang dan memastikan bantuan diagihkan kepada semua yang memerlukan.

“Alhamdulillah, bantuan disalurkan tanpa mengira latar belakang. Ramai keluarga saya juga sudah menerima bantuan yang sewajarnya,” ujarnya.

Sementara itu, kegembiraan jelas terpancar pada wajah murid-murid dari kawasan terjejas apabila mereka mula mengisi borang permohonan bantuan kelengkapan sekolah sejak Khamis.

Airis Sofea Mohd Zaidi, 11, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) USJ 20, bersyukur kerana pakaian sekolahnya tidak musnah dalam kejadian tersebut dan tidak sabar untuk kembali ke sekolah pada Isnin ini.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun baju sekolah saya masih selamat, kami tetap diminta isi borang untuk bantuan kelengkapan sekolah baharu sekiranya diperlukan,” ujarnya.

Namun, berbeza pula nasib Halimah Nur Sarah Amirul Shafi, 11, dari sekolah yang sama.

Buku dan pakaian sekolahnya masih berada di rumah dan belum diketahui sama ada masih selamat atau sebaliknya.

“Saya mungkin tak dapat hadir ke sekolah Isnin ini sebab belum dapat pakaian baharu. Tapi keluarga saya sudah isi borang permohonan di PPS ini,” ujarnya.

Terdahulu, YIDE agensi di bawah MAIS, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan agensi kerajaan negeri lain telah menjalankan tindakan segera mengenal pasti dan menyalurkan bantuan kepada semua pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi serta kanak-kanak prasekolah yang terkesan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!