Calon Duta Besar Malaysia ke AS sudah dapat perkenan Agong - PM

Anwar menandatangani buku pelawat sebagai simbolik lawatan beliau sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, Kajang. Foto Bernama
Anwar menandatangani buku pelawat sebagai simbolik lawatan beliau sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, Kajang. Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengesahkan calon Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, calon berkenaan diperkenan selepas beliau mempersembahkan kepada Seri Paduka Baginda baru-baru ini.

"Ia akan mengikut proses (umum). Kalau boleh, sabar dulu dalam sehari dua ini,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengganti Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang dilaporkan telah menamatkan tempoh perkhidmatan dua tahunnya sebagai Duta Besar Malaysia ke AS pada 10 Februari lepas.

Mohamed Nazri mula memegang jawatan Duta Besar Malaysia ke AS pada 9 Februari 2023, dan menurut kenyataan Kementerian Luar, pelantikan beliau dibuat berdasarkan pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran negara.

Anwar bersalaman bersama jemaah ketika hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, Kajang.
Anwar bersalaman bersama jemaah ketika hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, Kajang.

Anwar sebelum ini turut dilaporkan berkata kerajaan telah mengenal pasti calon baharu untuk jawatan berkenaan dan dalam proses mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan sama ada akan melanjutkan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki atau sebaliknya.

"Bila ada keputusan saya akan umum. Tengok bila, (kontrak) dekat nak habis. Beliau (Azam) belum habis lagi,” kat Anwar ketika ditanya mengenai laporan media antarabangsa yang mendakwa kontrak Azam akan dilanjutkan selama enam bulan lagi.

Artikel Berkaitan:

Azam mula memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sejak Mac 2020 sebelum kontraknya dilanjutkan selama setahun pada 10 Mei 2023 dan setahun lagi pada tahun berikutnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!