Lelaki hentak pemandu kereta guna topi keledar didenda RM4,300

Muhammad Ariff (tengah) mengaku bersalah atas pertuduhan memukul individu menggunakan keledar di sini, pada Jumaat
Muhammad Ariff (tengah) mengaku bersalah atas pertuduhan memukul individu menggunakan keledar di sini, pada Jumaat
A
A
A

MELAKA - Lelaki yang tular menghentak pemandu kereta menggunakan topi keledar didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.

Majistret N Sivashangari menjatuhkan hukuman itu sebaik tertuduh, Muhammad Ariff Izzat Shahrudin, 27, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan dia didapati telah memukul mangsa, Yusri Omar, 52, menggunakan topi keledar sehingga mendatangkan kecederaan di Jalan Utama Cheng, di sini, pada 27 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,500 atau denda enam bulan jika gagal bayar.

Dalam pada itu, Muhammad Ariff Izzat dan Yusri turut didenda RM800 atau dua bulan penjara setiap seorang selepas masing-masing mengaku bersalah melakukan gaduh gempar pada tarikh dan di tempat sama.

Muhammad Ariff Izzat yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan dia perlu menyara isteri dan nenek selain perniagaannya yang menguruskan tempat mencuci kereta mengalami masalah kewangan.

Manakala Yusri yang telah lebih setahun tidak bekerja perlu menyara empat anaknya yang masih bersekolah.

Pegawai Pendakwa, Inspektor T Veramuthu memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira faktor kejadian itu telah menjadi tumpuan dan tular di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan fakta kes insiden pergaduhan yang berlaku di persimpangan masuk Taman Cheng Utama itu tular di Facebook dan ditonton pengadu iaitu pegawai polis yang bertindak membuat satu laporan bagi siasatan lanjut.

Siasatan mendapati mereka melakukan gaduh gempar di tempat awam yang mana tertuduh pertama, memukul tertuduh kedua dengan topi keledar hingga cedera.

Sinar Harian pada Sabtu lalu, juga melaporkan seorang lelaki rebah dipercayai selepas kepalanya dihentak topi keledar oleh seorang individu dalam insiden perselisihan faham di jalan taman tersebut.

Kejadian itu dikongsikan menerusi video pendek berdurasi 16 saat yang tular sejak Jumaat.

Difahamkan insiden itu berpunca daripada tindakan warga emas itu yang menekan brek ketika memandu hingga menimbulkan kemarahan suspek yang menunggang motosikal.

Menerusi video itu, beberapa individu lain yang berada di lokasi dilihat cuba menenangkan keadaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!