Suspek hentak warga emas guna helmet sudah ditahan

MELAKA - Suspek kes hentak warga emas menggunakan helmet dalam kejadian di persimpangan Taman Cheng Utama seperti tular di media sosial telah ditahan pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 27 tahun itu diberkas di Balai Batang 3 sekitar jam 12.30 tengah hari Sabtu.
Menurutnya, mangsa berusia 52 tahun juga telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi memberikan keterangan lanjut berhubung kejadian kepada pegawai penyiasat.
"Berdasarkan siasatan awal, kejadian tersebut berlaku pada Khamis berpunca perselisihan faham di atas jalan raya yang akhirnya membawa kepada insiden fizikal.
"Pihak polis dalam proses merampas sebuah motosikal berserta helmet, dan selain pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian untuk tujuan siasatan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, mangsa pula telah diberikan borang POL 59 untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan rakaman percakapan mangsa akan diambil bagi melengkapkan siasatan.
Ujarnya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit salah berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau kedua-duanya jika sabit salah.
"Masyarakat dinasihat untuk sentiasa bersabar dan mengawal perasaan serta tidak melakukan perkara yang boleh menjerumus kepada perbuatan jenayah.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi IPD Melaka Tengah atau balai polis berdekatan," tambah beliau.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan seorang lelaki warga emas rebah dipercayai selepas kepalanya dihentak helmet oleh seorang individu dalam insiden perselisihan faham di lokasi kejadian.
Kejadian itu dikongsikan menerusi video pendek berdurasi 16 saat yang tular sejak Jumaat.
Perselisihan faham itu dipercayai berpunca tindakan warga emas itu membrek kenderaan hingga menimbulkan kemarahan suspek yang menunggang motosikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

