JPJ kutip RM2.5 juta, kenderaan Thailand paling banyak saman

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima sebanyak RM2.5 juta bayaran kompaun melalui Ops Tunggak yang dilaksanakan sejak 1 Januari lalu.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, jumlah berkenaan membabitkan 95 peratus kenderaan dari Thailand.
Menurut beliau, kebanyakan kenderaan berkenaan digunakan untuk mengangkut pekerja kedai makan yang berulang-alik dari tempat tinggal mereka ke lokasi itu.
"Kita turut mengesan satu kenderaan di Perlis yang didapati paling banyak saman tertunggak iaitu RM65,000," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pemantauan sempena Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 di sini pada Khamis.
Jelasnya, kesemua kenderaan akan dilepaskan kepada pemilik selepas bayaran kompaun dilangsaikan.
Muhammad Kifli menjelaskan, pihaknya akan melaksanakan lebih kerap operasi berkenaan kerana menjangkakan lebih banyak kenderaan akan memasuki negara ini pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
JPJ menggerakkan operasi khas Ops Tunggak di empat negeri sempadan Malaysia-Thailand iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan bagi menahan kenderaan asing bermula 1 Januari lalu.
Operasi bertujuan mengesan pemandu asing yang melanggar peraturan termasuk mempunyai saman tertunggak.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Kifli berkata, bayaran kadar kompaun khas yang diterima sehingga Rabu ialah sebanyak RM35 juta.
Jelas beliau lagi, kompaun itu dikenakan untuk tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
"Sehingga kini masih ada kira-kira RM2 juta belum dibayar dan kita berharap pemandu terbabit boleh melangsaikannya sehingga 30 Jun bagi mengelakkan disenarai hitam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
