Simpan kamera lama imbau nostalgia

Kamera filem jenama Yashica yang dibeli pada 1960 paling disayangi Fook Seek.
Kamera filem jenama Yashica yang dibeli pada 1960 paling disayangi Fook Seek.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Minat mendalam bidang fotografi sejak usia 12 tahun mendorong seorang warga emas mengumpul lebih 150 kamera pelbagai jenis dan jenama yang kini disimpan sebagai koleksi peribadi di kediamannya di Pangsapuri Kampung Tiong, di sini.

Wang Fook Seek, 82, berkata, dia masih menyimpan kamera filem yang wujud sebelum zaman kemerdekaan termasuk pelbagai model berusia lebih 75 tahun seperti kamera Rolleiflex buatan Jerman.

“Sejak kanak-kanak lagi saya meminati bidang fotografi. Kebanyakan gambar yang diambil merakamkan pemandangan dan budaya masyarakat setempat.

“Menginjak lewat usia remaja, saya bekerja di kilang kayu dan pada masa sama melakukan kerja sampingan mengambil gambar pelancong di lokasi popular seperti Pantai Batu Buruk serta Kampung Cina untuk menambah pendapatan,” kata Fook Seek di kediamannya baru-baru ini.

Koleksi kamera simpanan Fook Seek merangkumi kamera filem, polaroid dan digital.
Koleksi kamera simpanan Fook Seek merangkumi kamera filem, polaroid dan digital.

Menurutnya, kamera filem Yashica yang dibeli pada 1960 menjadi peralatan utama untuk merakam gambar pelancong dan pemandangan sekitar Kuala Terengganu.

Menurutnya, kamera itu juga menyimpan banyak kenangan bermakna dalam hidupnya.

“Sehingga kini, saya masih menyimpan kamera buatan Jepun itu kerana ia sangat berharga. Saya tidak akan sesekali menjualnya walaupun ditawarkan harga tinggi oleh pembeli.

“Bagi saya, kamera itu tidak ternilai dengan wang ringgit. Malah, jika anak- anak tidak mahu menyimpan koleksi kamera saya, biarlah kamera Yashica ini ditanam bersama saya apabila saya meninggal dunia nanti,” katanya berseloroh.

Artikel Berkaitan:

Miliki pelbagai koleksi

Fook Seek berkata, koleksinya merangkumi kamera pelbagai era, bermula daripada filem hingga digital.

Fook Seek membersihkan kamera yang disimpan di rak khas.
Fook Seek membersihkan kamera yang disimpan di rak khas.

Menurutnya, kebanyakan kamera masih boleh berfungsi, namun ada yang mengalami kerosakan akibat kekurangan alat ganti.

“Saya memiliki kamera dari tahun 1950-an hingga era 2000 termasuk jenis filem, polaroid, digital dan bawah air. Kebanyakan kamera ini dibeli menggunakan wang sendiri, selain ada yang dihadiahkan rakan.

“Antara koleksi paling berharga pernah saya miliki ialah kamera antik Voigtlander Braunschweig buatan Jerman berusia lebih 100 tahun, namun saya sudah menjualnya kerana mendapat tawaran harga tinggi,” ujarnya.

Anak kelahiran Kuala Berang itu juga mengakui ada beberapa koleksi kamera lain yang terpaksa dijual bagi menampung keperluan hidup.

“Saya memang sayang nak jual tetapi ada kamera yang mendapat permintaan tinggi.

“Paling mahal ialah kamera filem jenama Leica yang terjual pada harga RM10,000 kepada seorang pelanggan dari Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, kamera yang mempunyai nilai sentimental dan penuh kenangan tetap akan saya simpan sehingga akhir hayat,” katanya.

Berjaya di peringkat antarabangsa

Minat mendalam dalam fotografi turut mendorong Fook Seek menyertai banyak pertandingan seni fotografi hingga ke peringkat antarabangsa.

Pada 1988, Fook Seek mengharumkan nama negara apabila memenangi anugerah daripada International Photographic Salon of Japan menerusi gambarnya yang merakam sekumpulan nelayan menolak perahu kayu ke pantai di Pantai Batu Buruk.

“Selain itu, saya pernah mengambil gambar tradisi angkat rumah di Kuala Berang pada 1970.

“Gambar itu berjaya mendapat penghargaan dan anugerah di dalam serta luar negara,” katanya.

Meskipun dunia kini beralih kepada era digital, Fook Seek tetap setia dengan kamera filem kerana berasakan ia lebih bermakna.

“Saya ada menggunakan kamera digital pada masa kini tetapi tiada yang dapat menandingi kepuasan mengambil gambar menggunakan kamera filem dan mencetaknya sendiri.

“Bagi saya, kenangan lalu dan barang lama tetap mempunyai nilai tersendiri. Kamera filem tetap jadi pilihan dan akan terus disimpan sebagai memori indah sepanjang hayat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!