Jika tekanan perasaan lebih dari sebulan, bantuan perubatan perlu diberikan

SHAH ALAM - Individu yang kehilangan ahli keluarga terdekat secara mendadak berisiko mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) jika tidak mendapatkan bantuan psikologi dan emosi segera.
Pegawai Psikologi Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Sultan Zainal Abidin, Norsuhana Emilinadiah Husin berkata, tekanan selepas kehilangan orang tersayang adalah tindak balas emosi yang normal pada peringkat awal.
Namun, jika ia berlarutan lebih dari sebulan dan mengganggu kehidupan, bantuan perubatan perlu diberikan.
“Normal bagi sesiapa termasuk kanak-kanak, untuk merasa sedih selepas kehilangan. Kita perlu memberi ruang untuk mereka menangis.
“Tetapi jika selepas sebulan mereka masih tidak dapat menerima atau melupakan tragedi tersebut, mereka perlu mendapatkan bantuan kaunseling atau kaunselor profesional,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menjelaskan, antara tanda PTSD ialah memori terganggu, mengelak bercakap tentang peristiwa itu, berfikiran negatif terhadap diri sendiri, serta perubahan fizikal dan emosi seperti mudah marah, takut dan agresif.
Bagi keluarga yang kehilangan, beliau menekankan pentingnya sokongan emosi dan psikologi dari saudara mara dan rakan-rakan terdekat untuk memastikan individu yang terkesan merasa selamat.
Sementara itu, pendakwah Mohd Shamsul Hakim Abd Samad berkata, Islam mengajar umatnya untuk menerima kehilangan insan tersayang dengan keimanan kepada qada dan qadar ALLAH SWT.
“Dalam menghadapi kehilangan, Islam memberikan panduan agar kesedihan tidak berpanjangan.
“Waris digalakkan mengucapkan kalimah ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’ sebagai tanda menerima ketentuan Illahi serta mendoakan keampunan dan rahmat buat si mati,” katanya ketika dihubungi.
Beliau yang juga pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia berkata, selain itu, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam membantu keluarga yang berkabung.
“Ucapan takziah dan bantuan dalam bentuk makanan serta pengurusan jenazah adalah antara amalan yang dianjurkan dalam Islam.
“Umat Islam juga digalakkan menghindari perbualan yang boleh menambah kesedihan keluarga si mati,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

