Trump cetus perang perdagangan 'membinasakan'

Trump sekali lagi mengundang kecaman negara antarabangsa atas keputusan melulu pentadbiran beliau. - Foto Agensi
Trump sekali lagi mengundang kecaman negara antarabangsa atas keputusan melulu pentadbiran beliau. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON – Pengumuman tarif besar-besaran oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mengundang bantahan dan tindak balas daripada sebahagian negara antarabangsa selepas tindakan melulu itu dikhuatiri mencetuskan ‘perang perdagangan dahsyat’.

Kebanyakan negara yang terkesan, termasuk kira-kira 60 rakan dagangan utama Washington, turut mencadangkan rundingan lanjut diadakan bagi memastikan peraturan perdagangan lebih adil selepas tindakan Trump mencetuskan ‘gegaran kuat’ kepada pasaran global.

Trump memberi alasan bahawa pelaksanaan tarif timbal balik itu membolehkan AS menarik semula sektor perkilangan dan mewujudkan peluang pekerjaan di negara ekonomi terbesar dunia itu.

“Cukai import yang bermula pada kadar 10 hingga 49 peratus telah sekian lama dikenakan oleh rakan dagang Washington. Pembayar cukai telah diperdaya selama lebih 50 tahun. Perkara itu tidak akan berlaku lagi,” katanya ketika mengumumkan langkah kontroversi itu pada ‘Hari Pembebasan’ seperti yang diuar-uarkannya sebelum ini.

Bagaimanapun, tindakan tersebut telah mencetuskan kritikan meluas daripada negara antarabangsa yang menyifatkannya sebagai ‘kesilapan yang tidak menguntungkan mana-mana pihak’ serta pelanggaran terhadap kewajipan di bawah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Tarif universal bakal berkuat kuasa pada tengah malam 5 April, manakala pelaksanaan cukai timbal balik bermula pada tengah malam 9 April ini.

Berikut adalah reaksi negara dan sebahagian rakan dagangan utama AS.

CHINA

Beijing dalam satu kenyataan menegaskan ia menentang keras tarif baharu tersebut dan berikrar mahu melancarkan tindak balas untuk melindungi hak dan kepentingan mereka.

Artikel Berkaitan:

Trump membangkitkan kemarahan China apabila ia mengenakan kadar cukai maksimum sebanyak 54 peratus ke atas negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Sebelum ini, Beijing sudah pun berdepan tarif berganda sebanyak 34 peratus yang berkuat kuasa pada bulan lalu.

"Tarif itu tidak mematuhi peraturan perdagangan antarabangsa. Ia hanya akan membahayakan pembangunan ekonomi global. Washington wajar membatalkan segera," tegas Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan.

KESATUAN EROPAH (EU)

Ketua Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen pula menyifatkan ia sebagai 'tamparan besar kepada ekonomi dunia'.

"Nampaknya tiada aturan dalam kekacauan ini. Tiada laluan jelas dalam keadaan huru-hara ini kerana kesemua rakan dagangan AS terjejas," ujarnya.

Menurutnya, Brussels bersedia untuk bertindak balas terhadap kadar tarif sebanyak 20 peratus yang dikenakan ke atas eksport EU ke AS.

"Namun, masih belum terlambat untuk menangani kebimbangan melalui sesi dialog," katanya.

JERMAN

Persatuan Industri Automotif Jeman berpendapat tarif itu hanya akan menyebabkan kerugian dan ia menggesa EU supaya mengambil tindakan sewajarnya di samping berunding semula.

Industri kimia di Berlin yang menjadikan AS sebagai pasaran eksport terbesar mereka juga menggesa EU supaya kekal bertenang kerana sebarang tindakan secara melulu hanya akan memburukkan lagi keadaan.

JEPUN

Menteri Perdagangan, Yoji Muto berkata, tarif sebanyak 24 peratus yang dikenakan ke atas eksport Jepun ke Washington adalah keputusan yang tidak wajar.

Bantahan sama disuarakan Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi yang melihat pelaksanaan cukai itu melanggar peraturan WTO dan perjanjian perdagangan bilateral.

INDIA

Ketua Eksekutif Persekutuan Pertubuhan Eksport India, Ajay Sahai percaya tarif itu akan menjejaskan permintaan untuk eksport negara berkenaan.

"Kadar dikenakan lebih tinggi daripada jangkaan," ujarnya.

Tetapi, beliau melihat ia dapat membuka ruang kepada New Delhi untuk memperoleh bahagian pasaran memandangkan negara pesaing seperti China dan Vietnam dikenakan kadar cukai lebih tinggi.

BRITAIN

Menteri Perniagaan, Jonathan Reynolds berkata, United Kingdom (UK) akan kekal tenang dan komited untuk memeterai perjanjian perdagangan bersama AS yang dapat membantu untuk mengatasi kadar cukai sebanyak 10 peratus dikenakan ke atas eksport produk negara itu ke Washington.

"Bagaimanapun, kami mempunyai pelbagai alat yang boleh digunakan dan tidak teragak-agak untuk bertindak," tambahnya.

ITALI

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengkritik pengenalan tarif baharu tersebut yang didakwa berisiko mencetuskan perang perdagangan yang tidak akan melemahkan Barat.

"Ia satu kesilapan besar dan tidak sesuai dengan mana-mana pihak," katanya.

KANADA

Perdana Menteri, Mark Carney memberi amaran tarif itu pada asasnya bakal mengubah sistem perdagangan global.

"Kami akan memerangi tarif ini dengan langkah tindak balas. Ottawa akan melindungi pekerja kami dalam sektor yang terlibat," tegasnya.

BRAZIL

Kongres Brazil meluluskan Undang-undang Timbal Balik Ekonomi yang membenarkan eksekutif untuk memberi respons terhadap pelaksanaan tarif sebanyak 10 peratus ke atas eksport dari negara ekonomi terbesar di Amerika Latin itu.

Brasilia juga merupakan pengeksport keluli kedua terbesar ke AS selepas Kanada.

KOREA SELATAN

"Perang tarif global akhirnya menjadi kenyataan," kata pemangku Presiden, Han Duck-soo selepas Trump turut mengenakan cukai sebanyak 25 peratus ke atas import dari negara sekutunya itu.

Susulan itu, Duck-soo berikrar untuk menggerakkan kesemua sumber kerajaan untuk mengatasi krisis perdagangan tersebut selain menggesa para menteri meminimumkan impak tarif itu menerusi rundingan agresif bersama Washington.

AUSTRALIA

Perdana Menteri, Anthony Albanese berkata, tarif baharu itu bukan tindakan seorang 'rakan' dan ia bakal menjejaskan hubungan bersama sekutu rapat AS.

"Ia bukan di luar jangkaan. Tetapi, amatlah tidak wajar," menurutnya.

SWITZERLAND

Presiden Switzerland, Karin Keller-Sutter memaklumkan mereka akan segera memutuskan langkah seterusnya selepas negara itu turut dikenakan tarif sebanyak 31 peratus.

"Kepentingan ekonomi jangka panjang negara adalah keutamaan. Menghormati undang-undang antarabangsa dan perdagangan bebas adalah perkara asas," katanya.

TAIWAN

Jurucakap Kabinet, Michelle Lee berpendapat levi sebanyak 32 peratus itu adalah sangat tidak munasabah dan Taipei sedia untuk memulakan rundingan serius bersama AS.

THAILAND

Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra berkata, mereka mempunyai rancangan kukuh untuk menghadapi tarif baharu dikenakan AS dan mengambil langkah segera bagi mengurangkan kesan levi sebanyak 36 peratus seperti diumumkan Washington.

Beliau juga percaya pengenalan tarif baharu itu bakal memberi kesan kepada kuasa beli pengguna di AS akibat lonjakan harga luar biasa.

Bangkok bersedia untuk mengadakan sesi dialog bersama Washington untuk mencapai imbangan perdagangan yang adil bagi meminimumkan gangguan kepada ekonomi di kedua-dua negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!