Kedai perabot musnah terbakar

KUALA TERENGGANU - Sebuah kedai perabot jenis sementara musnah dalam kebakaran di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Ibai, di sini pada malam Rabu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.55 malam.
Menurutnya, seramai 25 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu serta dibantu BBP Jalan Kota dan BBP Marang dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba didapati api sedang marak dan anggota bomba melakukan tindakan memadamkan api tersebut menggunakan pancutan air tangki jentera dan 'water tanker'.
"Kebakaran melibatkan sebuah kedai perabot jenis sementara yang berkeluasan 120 kaki x 120 kaki persegi telah musnah 80 peratus.
"Selain itu, sebuah rumah jenis separuh kekal hanya musnah pada garaj hadapan. Dalam kejadian tersebut juga tidak melibatkan kehilangan nyawa dan tiada mangsa terlibat,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Kasyfi Syahmi berkata, kebakaran berjaya dikawal dan operasi memadam berjaya ditamatkan pada jam 12.50 pagi tadi.
"Tiada mangsa yang dilapor cedera manakala punca kebakaran masih lagi dalam siasatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
