Tiga rumah pekerja ladang musnah terbakar

KLUANG – Tiga buah rumah kuarters pekerja ladang di Ladang Pineapple, di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku lewat malam Isnin.
Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Maznan Mohamad, berkata kejadian yang berlaku sekitar jam 11.26 malam itu menyebabkan dua rumah terbakar hampir sepenuhnya, manakala sebuah lagi mengalami kerosakan sebanyak 15 peratus.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan sebelum mengerahkan pasukan penyelamat dengan bantuan BBP Ayer Hitam serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpang Renggam ke lokasi kejadian.
“Jentera pertama tiba pada jam 11.40 malam, kira-kira 18 kilometer dari balai. Setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres jenis kekal dengan keluasan masing-masing 1.85x1.39x1.11 meter persegi.
“Kebakaran memusnahkan 95 peratus dua buah rumah, manakala rumah ketiga hanya terbakar sebanyak 15 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan oleh 14 anggota menggunakan dua aliran sepanjang 30 dan 90 meter dengan sumber air diperoleh dari pili bomba yang terletak lebih 180 meter dari lokasi kebakaran.

“Api berjaya dikawal pada jam 12.22 tengah malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.42 pagi.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

