Harga paling tinggi dalam tempoh 10 tahun

HARGA lemang tahun ini mencatatkan peningkatan tertinggi dalam tempoh 10 tahun berikutan kenaikan kos bahan mentah seperti santan, arang dan buluh.
Pengusaha lemang di Kelantan mengakui mereka tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat sejak awal Ramadan.
Pengusaha lemang di Pasir Puteh, Jeffrey Abdullah, 44, berkata, harga sebatang lemang bergantung kepada saiz buluh yang digunakan, dan tahun ini berlaku peningkatan sekitar RM4 hingga RM5 berbanding tahun lalu.
“Tahun lepas, harga lemang bersaiz kecil dijual pada RM13, sederhana RM14, dan besar RM16. Tahun ini, harga naik kepada RM15, RM18, dan RM20 sebatang.
“Peningkatan ini berpunca daripada kos santan yang naik daripada RM14 sekilogram sebelum Ramadan kepada RM20 sekilogram seminggu sebelum Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada Rabu.

Menurutnya, kenaikan itu turut melibatkan harga arang yang meningkat daripada RM100 kepada RM140 seguni (38 kilogram), selain harga daun pisang hutan yang melonjak daripada RM2 kepada RM4 sekilogram.
Sementara itu, seorang lagi peniaga lemang, Fauzi Zakaria, 57, berkata, harga lemang tahun ini naik sekitar RM5 sebatang bergantung kepada saiz buluh dan kos bahan mentah.
“Tahun lepas saya jual pada harga RM14 hingga RM16 sebatang, tapi tahun ini meningkat kepada RM18 hingga RM22 sebatang.
“Harga santan di tempat saya mencecah RM19 sekilogram, menyebabkan saya terpaksa menaikkan harga bagi menampung kos operasi,” jelasnya.
Fauzi berkata, pelanggan tempatan ada yang merungut harga terlalu mahal, namun pembeli dari luar Kelantan lebih memahami kerana kenaikan harga bahan mentah berlaku di seluruh negara.
Sementara itu, pesara tentera, Che Abdullah Che Ahmad, 45, berkata, walaupun harga lemang meningkat, dia tetap membelinya kerana makanan itu sudah menjadi hidangan wajib setiap kali Aidilfitri.
“Dulu saya boleh beli tiga batang lemang dengan harga RM30, tapi sekarang harga sudah meningkat hampir RM50 untuk jumlah yang sama.
“Cuma saya harap peniaga dapat mengekalkan kualiti kerana jika harga mahal tetapi rasa kurang sedap, memang rasa rugi membeli,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

