Larangan beri merpati makan elak penyakit, jaga kebersihan

IPOH - Orang ramai diminta untuk mengambil perhatian terhadap larangan memberi makanan kepada burung merpati di kawasan awam terutama Padang Ipoh di sini bagi menjaga kebersihan persekitaran dan kesihatan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, amalan tersebut boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung termasuk pelancong dan menjejaskan imej bandar.
Tambah beliau, najis burung merpati boleh memberi risiko menyebabkan penyakit pernafasan, jangkitan dan masalah kesihatan lain.
"Menurut pakar kesihatan, najis ini boleh menjadi punca penyebaran bakteria, kulat dan patogen lain yang berpotensi menyebabkan masalah kesihatan.
"Selain itu, najis merpati yang bersifat asidik turut boleh mempercepatkan kerosakan pada struktur bangunan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Sandrea Ng berkata, mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976, pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menimbulkan kacau ganggu akibat amalan tersebut.
"Larangan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 namun secara amnya, MBI mengenakan kompaun sekitar RM250 sebagai langkah peringatan.
"Pendekatan utama PBT di negeri ini bukanlah bersifat menghukum, sebaliknya ia lebih kepada mendidik dan menyedarkan masyarakat melalui pemasangan bunting larangan oleh MBI di lokasi-lokasi yang dikenal pasti," katanya.
Menurut Sandrea Ng, pihak kerajaan negeri amat mengharapkan kerjasama orang awam dalam menjaga kebersihan persekitaran dan kesihatan agar kawasan tumpuan awam seperti Padang Ipoh kekal bersih, selamat dan menyenangkan untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
