Iftar Ala Madinah @Karangkraf labuh tirai, orang ramai harap inisiatif baik itu diteruskan

Pengunjung disajikan dengan pertunjukan bunga api ketika hari terakhir program Iftar Ala Madinah @Karangkraf pada Khamis.
Pengunjung disajikan dengan pertunjukan bunga api ketika hari terakhir program Iftar Ala Madinah @Karangkraf pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf yang melabuhkan tirainya pada Khamis mendapat sambutan positif daripada orang ramai yang berharap inisiatif itu akan diteruskan pada masa hadapan.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, pihaknya amat bersyukur kerana penganjuran selama empat minggu itu akhirnya tiba ke penghujung dengan kehadiran hampir 30,000 pengunjung sepanjang Ramadan pada tahun ini.

Firdaus
Firdaus

Beliau yang juga pengerusi program Iftar Ala Madinah @Karangkraf berkata, pengurusan turut berterima kasih kepada syarikat-syarikat korporat dan badan kebajikan di atas kesudian menghulurkan infak serta sumbangan tanpa henti.

“Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana tahun ini kita terima ramai tetamu dalam 1,500 orang sehari. Jadi, hari ini (Khamis) merupakan hari terakhir dan saya berharap tahun-tahun seterusnya ada banyak lagi sumbangan diberikan bagi menjayakan program ini.

“Saya juga hargai kerjasama sukarelawan yang sudi turun padang dan membantu petugas Karangkraf sepanjang program terutamanya dalam kalangan pelajar di samping dapat merasai pengalaman berbuka puasa seperti di Madinah,” katanya di sini pada Khamis.

Nona Nur Zara (kanan) bersama empat rakannya teruja menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf buat kali pertama.
Nona Nur Zara (kanan) bersama empat rakannya teruja menyertai Iftar Ala Madinah @Karangkraf buat kali pertama.

Sementara itu, Pegawai Turus Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Superintendan Harun Umar berpandangan, suasana di Dataran Karangkraf amat menarik memandangkan pihaknya jarang menyertai program seumpama itu.

“Saya dijemput ke sini pun untuk memberi penerangan tentang kempen keselamatan jalan raya memandangkan orang ramai sudah mula bergerak menuju kampung halaman masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, saya kongsikan persediaan, langkah keselamatan untuk mereka yang akan pulang raya kali ini,” ujarnya.

Seorang peniaga, Hanani Yuhaniz, 37, pula berkata, dia dan keluarganya pertama kali berbuka puasa di Dataran Karangkraf walaupun hanya tinggal berdekatan.

“Acaranya memang menarik, makanan banyak pilihan dan saya harap ia boleh diadakan lagi tahun depan,” katanya.

Pengunjung dihidangkan dengan 2,000 keping apam balik percuma.
Pengunjung dihidangkan dengan 2,000 keping apam balik percuma.

Dalam itu, empat remaja berusia 14 tahun menganggap peluang berbuka puasa beramai-ramai di Dataran Karangkraf sebagai pengalaman manis yang akan dikenang oleh mereka.

Nona Nur Zara Shahril Amir berkata, program itu merupakan pilihan tepat untuk ibu bapa yang ingin memberi ruang kepada anak-anak remaja berbuka puasa bersama rakan-rakan dalam suasana terkawal.

“Ibu bapa saya juga tidak perlu risau dan kami lebih selesa untuk berbuka puasa dan menikmati suasana berbuka dengan lebih tenang,” katanya.

Bagi Nur Hannah Damia Amril Syarmin, dia berpeluang merasai pengalaman itu buat pertama kali seumur hidupnya.

“Selalu saya berbuka di rumah atau restoran bersama keluarga. Sekali sekala dapat berbuka dengan rakan-rakan, rasa seronok dan teruja. Bolehlah dijadikan pengalaman manis untuk dikenang apabila dewasa nanti,” katanya.

Raisha Humairah Muhammad Raqib pula mengakui berasa lebih seronok kerana ibu bapanya membenarkan untuk berbuka puasa bersama rakan-rakan di tempat yang selesa dan selamat.

“Saya rasa menarik untuk datang lagi tahun depan lebih kerap kerana seronok juga makan dalam saf yang panjang dan berkongsi makanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!