'Wartawan mi segera' musim raya jadi faktor jalan sesak

SEREMBAN - Sikap segelintir pengguna jalan raya yang sibuk merakam gambar atau video kemalangan dilihat sebagai antara faktor kesesakan jalan raya luar biasa pada musim perayaan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, tindakan mereka itu bukan sahaja menyusahkan orang lain, malah boleh mengundang bahaya.
“Bila berlaku sesuatu kemalangan, terutama di lebuh raya, kita dapati akan berlaku kesesakan luar biasa dan antara salah satu puncanya ialah sikap segelintir pemandu yang memperlahankan kenderaan kerana mahu menonton kejadian dan merakamnya.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak perlu menjadi ‘wartawan mi segera’ dengan memuat naik rakaman dalam media sosial kerana ia boleh mengundang kesesakan dan mungkin menyebabkan kemalangan lain pula,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, keadaan jalan yang berbukit turut menjadi punca kesesakan apabila terdapat kenderaan yang bergerak perlahan, sekali gus memberi kesan kepada kenderaan lain.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan mereka bagi mengelakkan kesesakan.
“Ada ketikanya, kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berlaku hanya disebabkan kawasan lebuh raya itu berbukit. Jadi, pemilihan lorong juga penting,” katanya.
Selain itu, dalam Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) kali ini, pihaknya akan meningkatkan penggunaan dron bagi mengesan pesalah trafik, terutama yang melanggar lampu isyarat merah.
Jelasnya, pelanggaran lampu isyarat merah boleh mengundang kecelakaan yang membawa kepada kematian.
“Sebelum ini, kita banyak menumpukan penggunaan dron bagi mengesan kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan, tetapi kali ini kita memberi tumpuan kepada kesalahan melanggar lampu isyarat merah.
“Ini kerana setiap kali JPJ menjalankan operasi besar-besaran, kesalahan itu masih berlaku dan jumlahnya tidak berubah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang Ops Khas HRA Fasa 1, sebanyak 4,538 kenderaan telah diperiksa dan 1,190 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan, melibatkan 2,782 kesalahan.
Hanif Yusabra berkata, notis kesalahan berkaitan lesen kenderaan dan teknikal paling tinggi dikeluarkan, iaitu masing-masing 762 notis dan 678 notis.
Tambahnya, pihaknya turut memperkukuh strategi penguatkuasaan dengan menggerakkan pasukan penguat kuasa secara ‘covert’ atau preman bergerak.
“Pasukan ini akan beroperasi secara rahsia, memantau dan merakam kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.
“Anggota penguat kuasa turut ditugaskan menyamar sebagai penumpang bagi mengesan kesalahan yang dilakukan. Hasilnya, daripada 25 buah bas yang dinaiki semasa penyamaran tersebut, sebanyak 91 saman dan 28 notis telah dikeluarkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

